Samsung Galaxy S23 Ultra baru sahaja memasuki pasaran Malaysia beberapa bulan yang lalu dengan ia memegang takhta sebagai peranti dengan kemampuan zum terbaik. Ini dibantu oleh sistem kuad-kamera utama yang menyokong zum digital 100X, zum optikal 3X dan zum optikal 10x.

Kini mula kedengaran ura-ura bahawa pada S24 Ultra kelak hanya akan dilengkapi sistem tri-kamera sahaja di bahagian belakang. Kamera zum optikal 3x dan 10x akan digabungkan menurut ciapan Revegnus. Kerana kita masih lagi di bulan April, masih terlalu awal untuk mengetahui ketepatan maklumat ini.
Sebagai model Ultra, ciri tambahan sepatutnya diberikan dan bukan dibuang daripada model lebih baharu. Samsung berhadapan dengan pengeluar dari China yang mula menawarkan sistem kamera yang lebih baik dengan padanan lensa yang lebih mantap. Bagi kebanyakan pengguna, kemampuan lensa sudut lebar yang baik adalah lebih penting berbanding sistem zum yang melampau. Jawapan kepada ura-ura ini hanya akan diketahui pada Januari tahun hadapan.
