Samsung baru sahaja memperkenalkan Galaxy Tab S10 Lite. Tablet ini adalah sebahagian daripada siri Galaxy Tab S10 yang sudah ada termasuk Tab S10 Ultra, Tab S10+, Tab S10 FE dan Tab S10 FE+. Dengan pelancaran model Lite ini, siri Galaxy Tab S10 kini lengkap sepenuhnya.

Galaxy Tab S10 Lite hadir dengan skrin TFT LCD 10.9 inci beresolusi WUXGA+ dan kecerahan maksimum 600 nits. Ia menggunakan cip Exynos 1380 bersama padanan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB yang boleh ditambah hingga 2TB melalui kad mikroSD.
Galaxy Tab S10 Lite mengekalkan bateri berkapasiti 8000mAh seperti Tab S10 FE. Ia juga menjalankan Android 15 bersama One UI 7.0. Untuk kamera, tablet ini dilengkapi lensa utama 8MP dan kamera hadapan 5MP yang sesuai untuk swafoto dan panggilan video.

Galaxy Tab S10 Lite turut dilengkapi dengan ciri tambahan seperti pengimbas cap jari di bahagian sisi, sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.3 dan rangkaian 5G. Tablet ini menyokong penggunaan S Pen yang disertakan bersama serta papan kekunci berpenutup untuk kemudahan kerja dan pembelajaran.

