Samsung Galaxy Z Fold7 dan Z Flip7 Mungkin Dilancarkan Dengan Android 16

TechnologyDigital
8 Apr 2025 • 12:31 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Antara perkara mengecewakan dengan peranti Samsung tahun ini ialah kemas kini yang sudah beberapa bulan lewat tiba. Biasanya sistem operasi baharu akan diberikan pada bulan Disember tetapi tahun ini siri Galaxy S24, Z Flip6 dan Z Flip6 hanya mula menerima kemas kini Android 15 bulan ini. Bagi mengubat kemarahan peminat peranti mereka, Samsung mungkin melancarkan Z Fold7 dan Z Flip7 dengan OneUI 8 berasaskan Android 16 menurut laporan Sammobile.

Ini adalah selari dengan Google akan melancarkan Android 16 pada bulan Jun depan. Peranti skrin lipat Samsung pula secara lazimnya dilancarkan pada penghujung Julai. Buat pengguna ini ialah berita baik kerana Samsung menawarkan 7 kemas kini versi Android. Jika peranti dilancarkan dengan Android 16, mereka tidak akan kehilangan kemas kini satu versi Android.

image is not available

Pelancaran Z Fold7 dan Z Flip7 adalah dinantikan kerana ramai ingin melihat sama ada Samsung mampu memberikan peranti yang bersaing dengan Oppo Find N5 dan Honor Magic V3 yang mempunyai rekaan lebih nipis serta kapasiti lebih besar. Oppo dan Honor membuktikan peranti skrin lipat tidak seharusnya mengorbankan saiz bateri.

Tahun ini Samsung turut dijangka melancarkan peranti skrin tri-lipat Z Fold G serentak dengan Z Fold7 dan Z Flip7 bersama dengan cermin mata pintar. Samsung perlu melancarkan peranti dengan inovasi tahun ini jika tidak ingin terus kehilangan pegangan pasaran kepada Apple, Xiaomi, Oppo dan Vivo.