Samsung Galaxy Z Fold7 telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi sebagai peranti skrin lipat paling nipis pernah dihasilkan mereka dengan kemampuan kamera yang turut dipertingkatkan. Sekilas pandang dari hadapan, Z Fold7 mempunyai rekaan yang mirip dengan Galaxy S25 Edge kerana hanya setebal 4.2mm pada posisi dibuka, 8.9mm pada posisi ditutup dan seberat 215 gram sahaja. Lebih ringan berbanding S25 Ultra yang seberat 218 gram.

Skrin luar kini ialah 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang lebih besar berbanding 6.3″ tahun lalu. Ini adalah kerana skrin kini semakin lebar bagi memudahkan peranti digunakan hanya dengan sebelah tangan. Nisbah skrin masih lagi memanjang 21:9 tetapi kini lebih selari dengan rekaan skrin pada Honor Magic V5 dan Oppo Find N5. Kaca tahan lasak Corning Gorilla Glass Ceramic 2 digunakan pada skrin luar ini.

Skrin dalam pula juga lebih besar, 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz berbanding 7.6″ tahun lalu. Terdapat lubang kamera kerana Samsung menghentikan penggunaan sistem kamera bawah skrin UDC. Sokongan S Pen turut dihentikan sekaligus menjadi satu lagi petanda mungkin ia turut akan dihentikan pada S26 Ultra tahun depan. Tubuh lebih nipis ini masih melepasi piawaian kalis debu dan air IP48.

Peranti dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, dilengkapi memori sehingga 16GB RAM LPDDR5x, storan sehingga 1TB UFS 4.0, dan bateri pula sebesar 4400 mAh yang sekadar menyokong pengecasan 25W berwayar dan 15W nirwayar yang sama seperti tahun lalu. Samsung masih belum bersedia menawarkan bateri SiC berkapasiti tinggi pada peranti mereka tahun ini.
Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP yang dipadankan kepada lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto 10MP yang menyokong zum optikal 3X. Kamera swafoto luaran adalah sebesar 10MP manakala di bahagian dalam juga 10MP. Lensa utama 200MP adalah sama seperti di S25 Edge dengan ia boleh melakukan zum optikal 2X.

Keunikan model tahun ini ialah ia telefon pertama dilancarkan dengan Android 16 secara terpasang menerusi pelancar One UI 8. Menerusi One UI 8 terdapat ciri Galaxy AI seperti mengubah lakaran menjadi imej, menyunting imej dengan AI, bantuan alih bahasa pada teks, alih bahasa menggunakan panggilan telefon dan ciri ringkasan dokumen menerusi aplikasi Notes. Circle to Search, Now Bar dan Now Brief dari Galaxy S25 turut disertakan sekali.

Z Fold7 bersama dengan Z Flip7 dan Z Flip7 FE menjadi peranti pertama menggunakan OneUI 8 yang berasaskan Android 16. Ketiga-tiganya ialah telefon pintar pertama dilancarkan dengan Android 16 tahun ini. Seperti semua peranti mercu mereka, Samsung akan memberikan 7 kemas kini versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti sepanjang hayat peranti.

Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Fold7 adalah seperti di bawah dengan pratempahan sudah boleh dilakukan sekarang sehingga 31 Julai manakala jualan terbuka adalah bermula 1 Ogos. Warna yang ditawarkan ialah Silver Shadow, Blue Shadow, dan Jetblack. Terdapat juga pilihan warna Mint tetapi ini hanya ditawarkan menerusi pembelian secara atas talian.
- Samsung Galaxy Z Fold7 (12/256GB) – RM 7799
- Samsung Galaxy Z Fold7 (12/512GB) – RM 8399
- Samsung Galaxy Z Fold7 (16/1000GB) – RM 9899


