Samsung kini sedang sibuk membangunkan set kepala XR Project Moohan menerusi kerjasama bersama Google yang akan dilancarkan tahun ini. Mereka turut mengesahkan kewujudan cermin mata pintar yang akan bersaing dengan Meta Ray-Ban. Terkini Samsung berkongsi mereka sedang membangunkan lensa meta baharu yang lebih nipis untuk kaca mata dan set kepala XR.

Apabila saya katakan kompak, saya maksudkan ia akan dimuatkan dalam rekaan yang sangat ringan dan selesa digunakan oleh pengguna. Lensa Meta Akromatik ini dibangunkan dengan kerjasama Universiti Sains dan Teknologi Pohang (POSTECH) dengan ia mampu memaparkan kandungan pada resolusi tinggi tanpa masalah herotan warna dan turut boleh menyelesaikan isu penyimpangan optikal.

Lensa ini bukan sahaja ringan, tetapi juga nipis dan rata. Untuk memastikan masalah peyimpangan kromatik tidak akan berlaku, lensa ini direka semula dari tahap struktur-meta secara individu dan memastikan ia adalah lensa terbaik yang turut tidak akan menyakitkan atau memenatkan mata pengguna. Penggunaan paparan holografik juga membantu memastikan ia sesuai dengan teknologi realiti terimbuh dan realiti gabungan.

Lensa ini dikatakan masih lagi dalam peringkat kajian dan pembangunan. Jadi tidak pasti jika projek akhir untuk peranti set kepala atau kaca mata XR Samsung nanti akan menggunakannya.
Empat tahun lalu, kami melaporkan Samsung membangunkan lensa meta untuk kamera telefon pintar yang lebih nipis bagi menghapuskan bonggol yang tebal di belakang peranti. Pesaing mereka LG juga berjaya menghasilkan lensa meta untuk set kepala realiti maya pada tahun 2022 dengan ia ketebalannya hanya 1/10,000 berbanding lensa konvensional.

