Samsung ialah jenama teknologi yang cukup terkenal untuk penawaran peranti pintar dan perkakasan rumah, tetapi mereka juga adalah sebuah nama yang dipercayai untuk komponen-komponen dan aksesori komputer, seperti komponen RAM dan juga storan SSD.

Dengan ini, Samsung telah memperkenalkan dua buah siri SSD mudah-alih yang dinamakan Samsung Portable SSD P sewaktu acara Gamescom 2026 yang kini sedang berlangsung di Cologne. Kedua-dua storan SSD ini dinamakan Samsung Portable SSD P9 dan juga Samsung Portable SSD P7.
Bermula dengan Samsung Portable SSD P9, storan SSD ini hadir dengan sambungan penghantaran data USB4, dan merakamkan kelajuan pembacaan data 4,000MB/s dan kelajuan penulisan data 3,800MB/s. Dengan sokongan kelajuan penghantaran data sepantas ini, Samsung Portable SSD P9 khususnya hadir dengan kemampuan rakaman terus dari kamera ke storan Samsung P9.

Ini mengurangkan keperluan untuk jurukamera profesional menukar storan kad SD, dan membolehkan mereka merakam terus ke storan ini untuk dihantar ke pihak penyunting, yang juga boleh menyunting video secara terus tanpa perlu memindahkan rakaman terlebih dahulu.
Untuk storan Samsung Portable SSD P7 pula, ia tampil dengan pilihan storan dan sokongan sambungan yang sama dengan Samsung Portable SSD P9, tetapi hadir dengan sokongan untuk sambungan kepada lebih banyak jenis peranti, dari komputer desktop, komputer riba, konsol permainan, peranti pintar dan sebagainya, dengan kelajuan penghantaran data yang hanya sedikit lebih rendah.

Satu lagi kelebihan pada Samsung Portable SSD P7 ialah ia tahan lasak, dan boleh jatuh dari ketinggian dua meter tanpa kerosakan dalaman. Kedua-dua storan mudah alih Samsung Portable SSD P9 dan P7 ini tampil dengan pilihan storan 1TB, 2TB, 4TB dan 8TB.
Samsung mengatakan bahawa aksesori storan SSD mudah-alih ini akan mula dijual di pasaran-pasaran tertentu pada bulan ini. Dari segi tanda harga, Samsung mengumumkan bahawa untuk model P9, ia adalah $339.99 untuk model 1TB, $649.99 untuk 2TB, $1,349.99 untuk 4TB, dan $2,699.99 untuk 8TB. Samsung Portable SSD P7 pula hadir dengan tanda harga $289.99 untuk 1TB, $549.99 untuk 2TB, $1,149.99 untuk 4TB dan $2,289.99 untuk 8TB.
Sumber: Samsung




