
Samsung telah mengesahkan pelancaran peranti Galaxy baharu yang akan berlangsung pada 25 Februari di San Francisco. Teknologi berasaskan AI kekal menjadi fokus utama dalam kemas kini kali ini. Galaxy AI digambarkan sebagai evolusi sistem kamera dengan tujuan menjadikan telefon pintar bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga peralatan kreatif yang lengkap.

Antara kemampuan yang dijanjikan termasuk kebolehan menukar gambar siang kepada suasana malam dengan mudah hanya melalui arahan teks. Selain itu, pengguna kelak boleh menghasilkan video bergaya sinematik tanpa perlu kemahiran teknikal yang mendalam. AI baharu ini juga mampu menambah semula butiran yang hilang, contohnya bahagian kek cawan yang telah digigit serta menukar subjek seperti haiwan kepada pelekat AI untuk menjadikan paparan lebih menarik.
Samsung turut memperlihatkan fungsi seakan ‘Generative Edit’ di mana pengguna boleh melakar tambahan pada gambar dan membiarkan AI melengkapkan hasilnya secara kreatif. Meskipun begitu, Samsung masih belum mendedahkan nama rasmi atau perincian penuh kemampuan ciri tersebut dan maklumat lanjut dijangka diumumkan menjelang pelancaran rasmi.
