Samun kedai emas: Polis teliti rakaman CCTV, rekod 12 keterangan

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 12:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Setakat ini seramai 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan bagi menjejaki pergerakan suspek yang melarikan diri selepas kejadian samun kedai emas bernilai RM9.7 juta di Brickfields, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, penelitian dilakukan termasuk analisis rakaman CCTV dari beberapa lokasi berhampiran.

"Polis sedang meneliti rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan pergerakan suspek selepas mereka melarikan diri,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, setakat ini seramai 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

"Kesemua individu yang direkod keterangan terdiri daripada pengadu, pemilik premis serta 10 pekerja kedai emas berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran milik sebuah kenderaan yang sah berdaftar dan polis turut mengambil keterangan pemilik asal nombor pendaftaran berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebelum ini dilaporkan berkata, empat lelaki bersenjata melarikan barang kemas bernilai RM9.7 juta dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, suspek yang bersenjatakan dua pistol tiba di lokasi menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih sebelum berdepan dengan pengawal keselamatan.

Katanya, kumpulan itu kemudian menyerbu masuk ke dalam premis dan mengugut pekerja sebelum memecahkan beberapa kaunter pameran.

Jelasnya, suspek melarikan diri dengan kenderaan sama sejurus selepas kejadian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved