Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perkhidmatan e-Hailing seperti Grab sememangnya sering menjadi pilihan kebanyakan individu untuk bergerak ke lokasi yang dituju.
Buat mereka yang bekerja sebagai pemandu e-Hailing, sudah pastinya pelbagai ragam dan latar belakang penumpang yang biasa ditemui.
Pemandu Grab Tak Sangka Penumpang Dibawa Rupanya Arkitek Tersohor Terlibat Bina Menara Terkenal
Semalam (11 Ogos), tular di media sosial perkongsian seorang pemandu Grab mengenai kisah seorang penumpangnya yang merupakan arkitek terkenal, Profesor Emeritus Ar. Hijjas Kasturi.
Perkara itu dikongsikan oleh pemandu Grab berkenaan dalam satu hantaran di Threads @muhammadamirulzahari.
Kongsinya yang dikenali sebagai Amirul, dia tidak menyangka penumpang yang dibawa merupakan seorang legenda di Malaysia iaitu Hijjas Kasturi.
“Sebagai seorang pemandu Grab, aku memang tak tahu pun rupanya uncle ni legend dekat Malaysia,” kongsinya.
Pemandu Grab Dedah Hijjas Kasturi Seorang Yang Merendah Diri & Sopan
Kongsi Amirul, dia mengambil penumpang tersebut bersama isterinya dari stesen KTM Sungai Buloh pada Isnin (10 Ogos) lalu kira-kira jam 8.30 malam.
Melihat kepada cara penampilan penumpang itu, Amirul mengakui beliau sememangnya nampak berada namun menyifatkan cara berinteraksi mereka sangat merendah diri dan sopan.
Manakan tidak, ketika Amirul memaklumkan bahawa dia terpaksa memarkir kenderaannya jauh dari lokasi, Hijjas pula yang memohon maaf kepadanya.
Sedangkan Amirul berpendapat, dialah yang seharusnya meminta maaf kerana meletakkan kenderaannya jauh dari tempat sepatutnya.
“Cara mereka berinteraksi sangatlah humble dan polite. Aku terpaksa parking jauh sebab tak ada parking. Mereka tak ada cakap apa, hanya minta maaf berkali kali dan ikut je aku ke kereta sambil sorong bagasi. Aku pun pelik patut aku yang minta maaf,” kongsinya.
Pemandu Grab Terkejut Lihat Rumah Seperti Resort, Baru Sedar Pelanggan Yang Dibawa Bukan Orang Biasa
Kongsi Amirul, ketika dalam perjalanan, kedua-dua mereka hanya bersembang seperti biasa.
Namun apa yang menarik perhatiannya adalah cara percakapan mereka yang disifatkan sebagai lemah lembut (soft spoken).
Tambah Amirul lagi, dia terkejut malah pada mulanya menyangka rumah penumpang berkenaan sebagai resort dek kerana saiznya yang besar.
Jelas Amirul, pada ketika itulah baru dia menyedari bahawa penumpang yang dibawa bukanlah orang biasa.
“Sampailah nak drop mereka di lokasi, aku tanya ‘ini resort ke?’ Sebab besar dia lain macam, kedua-dua mereka jawab, ehh tak ‘this is our house’.
“Then uncle ni cerita mereka ada buat sort of macam program lukisan baru-baru ini untuk kids dekat situ (kalau tak silap aku).
“Time tu baru terdetik dalam hati ‘ehh mereka berdua ni bukan orang biasa-biasa ni, rumah pun dah macam resort.
“Bila drop off uncle tu siap tolong aku unload lagi beg mereka. Dah habis kerja, baru try Google, rupanya uncle tu adalah seorang arkitek yang sangat dihormati di Malaysia,” kongsinya.
Kongsi Amirul kepada BuzzKini, dia berkongsi kisah itu kepada umum dek kerana kagum dengan keperibadian Hijjas dan isteri meskipun mereka adalah seseorang yang ternama.
View on Threads
Warganet Kagum Keperibadian Hijjas Kasturi, Ada Yang Turut Kongsi Pengalaman Sama
Perkongsian yang telah mendapat lebih 298,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memuji keperibadian Hijjas serta isterinya yang disifatkan sebagai merendah diri meskipun mereka merupakan golongan ternama.
Malah, sesetengah warganet turut berkongsi pengalaman mereka yang pernah berhadapan dan bekerja dengan Hijjas.
Tidak kurang juga ada yang mendedahkan Arkitek Negara itu sering membuat hari terbuka kepada orang ramai untuk datang ke kediamannya, Rimbun Dahan yang terletak di Kuang, Sungai Buloh.
Hijjas Kasturi Bapa Seni Bina Negara, Karya Ikonik Seperti Menara TM & Kompleks Haji Sepang
Sekadar info, Hijjas Kasturi merupakan bapa seni bina negara dan merupakan pelopor dunia seni bina Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, Hijjas telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan termasuklah Gold Medal Award dari Pertubuhan Arkitek Malaysia serta Pingat Presiden oleh Lembaga Arkitek Malaysia pada tahun 2023.
Antara karya ikonik yang pernah dihasilkan oleh beliau adalah Menara Maybank, Menara Telekom yang turut mendapat gelaran Menara Rebung atau Menara Stark dan Kompleks Haji Sepang.
Ini antara komen pengguna Threads:
“Kitaorang Dapat Rasa Apa Yang Brader Ni Rasa Bila Dapat Bawa Uncle Legend Ni”

“Rumah Dia, Setiap Tahun Mesti Ada Open Day Boleh Lawat”

“Hebat Beliau Walaupun Sudah Berusia Begitu, Masih Jalan Berdua Naik Public Transport”

“Anak Dia Bilqis Pun Humble, Pakai Baju Biasa Je”

“Bekas Bos Saya, Sangat Gentleman, Kalau Naik Lif Pun Dia Tahan Lif Bagi Kami Pekerja Ni Masuk Dulu”



