
NILAI – Seramai 77 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menggempur dua premis di kawasan perindustrian Nilai, semalam.
Dalam operasi yang bermula pukul 9.50 pagi hingga 1 tengah hari itu, seramai 326 individu diperiksa, dengan 77 daripadanya ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Ketika serbuan dibuat, ada antara warga asing yang sanggup bersembunyi di celah-celah kotak, selain menyorok di dalam kotak kayu.
Pengarah JIMNS, Mohd Razip Yasin berkata, daripada 77 PATI yang ditahan, 65 adalah lelaki, 11 perempuan manakala seorang lagi merupakan kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun.
“Kesemua tahanan berusia antara 17 hingga 50 tahun. Mereka terdiri daripada 39 lelaki warga Bangladesh disamping seorang wanita warga Indonesia.
“Selebih tangkapan membabitkan, 29 warga Myanmar terdiri 18 lelaki, 10 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, dua lelaki warga Nepal serta enam lelaki warga India,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, katanya JIMNS turut mengeluarkan tiga borang saman saksi kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan. – KOSMO ONLINE!
The post Sanggup menyorok celah kotak elak dicekup appeared first on Kosmo Online.






