
IPOH – Seramai 175 warga asing dicekup Jabatan Imigresen selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan dalam serbuan Op Mahir di tiga lokasi sekitar Bercham, di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua warga asing itu ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 305 pekerja di dua kilang dan sebuah medan selera.
Katanya, siasatan mendapati kesalahan utama yang dikesan ialah bekerja tanpa dokumen atau permit kerja yang sah, manakala sebahagian lagi memiliki permit kerja yang tidak sepadan dengan syarikat tempat mereka bekerja.
“Operasi bermula pukul 7 malam itu dijalankan di tiga lokasi iaitu sebuah kilang papan, kilang sarung tangan dan medan selera.
“Majoriti yang ditahan merupakan warga Bangladesh selain warga Myanmar dan seorang warga Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di kawasan perindustrian di Kanthan, Chemor di sini, semalam.
Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut mengesan beberapa kes penggunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Katanya, pihaknya percaya terdapat kemungkinan majikan menggunakan khidmat ejen untuk mendapatkan PLKS palsu bagi membolehkan warga asing bekerja di premis mereka. – KOSMO! ONLINE
The post 175 warga asing dicekup dalam Op Mahir di Ipoh appeared first on Kosmo Digital.






