Sanggup tunggang motosikal rentas negeri untuk berjoget, warga emas 71 tahun ditahan

15 Apr 2026 • 12:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sanggup tunggang motosikal rentas negeri untuk berjoget, warga emas 71 tahun ditahan
Operasi dijalankan JAIPk bersama IPD Bagan Datuk menahan seramai 22 individu terdiri daripada 10 lelaki dan 12 wanita berusia antara 22 hingga 71 tahun.

BAGAN DATUK – Seorang warga emas berusia 71 tahun antara 22 individu yang ditahan dalam satu operasi serbuan di sebuah pusat karaoke di Simpang Empat, Hutan Melintang di sini pada Sabtu malam.

Lebih mengejutkan, lelaki terbabit dipercayai sanggup menunggang motosikal sejauh kira-kira 68 kilometer dari Sungai Besar, Selangor semata-mata untuk berhibur dan berjoget bersama kenalan wanita di premis berkenaan.

Operasi dijalankan pada 11 April lalu itu susulan aduan orang ramai mengenai aktiviti tidak bermoral seperti tarian bergelek dan perlakuan kurang sopan secara terbuka di lokasi terbabit.

Serbuan tersebut diketuai Unit Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk bersama Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut pihak JAIPk, seramai 10 pegawai penguat kuasa agama dan lapan anggota polis terlibat dalam operasi bersepadu itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 22 individu ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan 12 wanita berusia antara 22 hingga 71 tahun.

"Kesemua mereka adalah warga tempatan,” menurut kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Siasatan awal mendapati premis tersebut dipercayai disalahgunakan sebagai pusat hiburan tanpa mematuhi syarat permit yang ditetapkan.

Kesemua individu beragama Islam yang ditahan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 kerana melakukan perbuatan tidak sopan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengambil tindakan terhadap pengusaha premis kerana melanggar syarat permit dengan menjadikan gerai papan berkenaan sebagai pusat hiburan.

“Semua peralatan termasuk mikrofon, pembesar suara dan televisyen telah dirampas oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, JAIPk menasihatkan umat Islam agar menjauhi perbuatan yang bertentangan dengan akhlak dan syariat Islam.

Menurutnya, aktiviti seperti menari dan bergelek secara terbuka bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising serta perlakuan tidak sopan.

"Tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan oleh mana-mana individu, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga emas yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.

"Orang ramai diseru agar bersama-sama menjauhi maksiat dan memelihara adab dalam kehidupan seharian,” katanya.