
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa kenyataannya dalam ceramah kempen di Negeri Sembilan baru-baru ini telah dimanipulasi sehingga menimbulkan dakwaan beliau mengeluarkan ucapan berbaur perkauman.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ucapan itu hanya menyentuh aspek sejarah Tanah Melayu dan fakta yang boleh disemak, namun sebahagiannya dipetik di luar konteks sebelum ditafsirkan mengikut kepentingan tertentu.
“Semua ada dalam ucapan saya, ucapan saya jelas, berbutir dan terus terang. Butirannya jelas tetapi ada pihak yang mahu memanipulasi dengan mengambil sekerat, dia ulas dan menambah sendiri sebelum menjadikannya isu.
“Saya cerita pasal sejarah, fakta itu boleh diperiksa di mana-mana buku pakar-pakar sejarah semua benda yang sama,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Kebajikan Haiwan dan Himpunan Lembu Sado Malaya di Taman Jubli Emas, hari ini.
Beliau mengulas gesaan beberapa pemimpin politik supaya pihak berkuasa menyiasat dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman ketika berkempen di Negeri Sembilan.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya bagi tujuan politik.
“Sesiapa yang cuba untuk memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan perjalanan.
“Jangan cuba memesongkan fakta. Saya sebut itu fakta, tidak ada yang saya reka dan tidak pernah kata kepada sesiapa, saya cerita bab sejarah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ucapan itu tidak seharusnya dijadikan punca ketegangan kerana ia merupakan fakta yang perlu difahami bagi memahami perkembangan masa lalu dan masa kini.
“Sejarah tidak pernah menimbulkan ketegangan. Ia perlu dipelajari untuk mengetahui apa yang berlaku pada masa lalu, memahami apa yang sedang berlaku pada masa ini dan merancang masa depan. Bukan saya yang menimbulkan ketegangan, mereka yang menimbulkan ketegangan,” katanya.
Muhammad Sanusi turut menggesa orang ramai menonton semula rakaman penuh ucapannya bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu tersebut.
“Kita tidak perlu takut dengan perkara-perkara seperti ini selagi kita berada di pihak yang betul. Kalau kita betul, kita takut apa? Hujung dunia pun saya pergi kalau saya betul,” katanya. – UTUSAN
The post Sanusi dakwa kenyataan dimanipulasi, tidak teragak-agak saman pihak terlibat appeared first on Utusan Malaysia.




