Sanusi Dakwa Kenyataan Diputar Belit, Bakal Buat Laporan Polis 

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 8:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sanusi Dakwa Kenyataan Diputar Belit, Bakal Buat Laporan Polis 

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bakal membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya ketika menyampaikan ceramah di Negeri Sembilan, semalam.

Beliau memberi amaran, tindakan undang-undang termasuk saman akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya bagi meraih kepentingan politik.

“Saya hanya menyatakan fakta. Sesiapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.

“Saya juga akan membuat laporan polis balas. Saya akan mengambil tindakan undang-undang bagi membetulkan keadaan. Jangan cuba memutarbelitkan fakta,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, kenyataannya sebelum ini hanya menyentuh fakta sejarah dan bukannya mereka-reka cerita.

Malah, beliau menegaskan ucapannya tidak ditujukan kepada mana-mana individu tertentu.

“Ia disampaikan secara terperinci dan jelas. Orang hanya mahu memanipulasikannya; mereka mengambil sebahagian daripada kenyataan, kemudian mengulas serta menambah tafsiran sendiri. Selepas itu, mereka jadikannya sebagai isu.

“Semua ini hanya diperbesarkan bagi mendapatkan keuntungan politik dan mencemarkan reputasi saya,” katanya.

Beliau menegaskan, sejarah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan kerana ia merupakan fakta yang perlu dipelajari bagi memahami peristiwa lampau dan merancang masa depan.

Menurutnya, apa yang diperkatakannya boleh dirujuk dalam mana-mana buku sejarah serta disahkan oleh pakar sejarah.

Muhammad Sanusi berkata, pihak yang menyebarkan video atau laporan yang didakwa tidak menggambarkan keadaan sebenar perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.

“Saya cakap satu perkara, mereka cakap perkara lain. Kita tidak perlu takut selagi kita berada di pihak yang benar,” katanya.

Pada Khamis, Sanusi dilaporkan berkata, Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air bagi orang Melayu, berbeza dengan kaum lain yang menurut dakwanya boleh kembali ke negara asal seperti India, China atau Thailand. - Getaran, 25 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved