Selenggara infrastruktur, sistem saliran elak banjir di Ampangan

LocalPolitics
26 Jul 2026 • 7:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Selenggara infrastruktur, sistem saliran elak banjir di Ampangan

SEREMBAN – Penyelenggaraan infrastruktur awam dan sistem saliran akan terus diberi keutamaan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, aspek itu perlu diberi perhatian serius memandangkan Ampangan merupakan kawasan matang dengan kepadatan penduduk tinggi, selain memastikan isu banjir dialami penduduk tidak berulang.

Beliau berkata, kegagalan menyelenggara longkang dan sistem perparitan dengan baik bukan sahaja boleh menyebabkan air bertakung dan tersumbat, malah berpotensi menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk pembiakan nyamuk Aedes.

Image from: Selenggara infrastruktur, sistem saliran elak banjir di Ampangan

“Di Ampangan khususnya, kita mesti menjaga sistem perparitan, longkang dan sungai dengan baik kerana jika tidak diuruskan dengan sempurna, ia boleh menjadi punca musibah banjir.

“Longkang yang tidak dise­lenggara dengan baik boleh menyebabkan air bertakung dan tersumbat, manakala sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna pula boleh mengakibatkan banjir,” katanya ketika ditemui di Taman Bukti, Ampangan, di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai usaha menangani isu banjir, katanya, PH sebelum ini telah mengenal pasti beberapa punca yang menyumbang kepada kejadian banjir besar pada 2020 dan 2021.

“Antaranya keadaan Sungai Batang Benar yang merentasi DUN Ampangan tidak diselenggara dengan baik termasuk pe­ngumpulan pasir yang menjejaskan kedalaman dan kelebaran sungai serta keadaan tebing.

“Alhamdulillah, isu ini sudah dapat ditangani, penduduk mahu kerja-kerja penyelenggaraan su­ngai diteruskan secara berkala selain memastikan sistem saliran sentiasa dalam keadaan baik.

“Namun, usaha menanga­ni isu itu berdepan kekangan susulan pertukaran kerajaan pada 2020 yang menjejaskan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Namun, katanya, usaha penyelenggaraan sungai dan sistem saliran akan terus diperkasakan bagi mengurangkan risiko banjir berulang kerana perkara itu memberi kesan secara langsung kepada kualiti hidup rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, jajaran rekreasi di sepanjang sungai yang sedang dibangunkan menerusi projek kerajaan Persekutuan turut berpotensi dimanfaatkan sebagai ruang riadah dan aktiviti ekonomi komuniti.

“Kita mahu kawasan ini menjadi lokasi masyarakat beriadah, berjoging, berbasikal dan bersantai bersama keluarga.

“Pada masa sama, kita mahu mewujudkan ruang perniagaan kecil seperti gerai makanan dan minuman bagi merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Image from: Selenggara infrastruktur, sistem saliran elak banjir di Ampangan
MUHAMMAD NAZRI atau mesra dipanggil Tok Naz menyantuni pengundi semasa berkempen di Taman Bukti, Ampangan, Seremban baru-baru ini. – NOR SHAFAWATI YUP

Kerusi DUN Ampangan me­nyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Muhammad Nazri dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Rafie Abd. Malek (PN) dan Noor’azah Harun (Bersatu).

Pada PRN 2023, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dari PH menang dengan majoriti 329 undi. -KOSMO! ONLINE

The post Selenggara infrastruktur, sistem saliran elak banjir di Ampangan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved