
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mencabar Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan MADANI dan Kerajaan Perpaduan.
Cabaran itu disuarakan Sany dalam satu sidang media di Parlimen pada Isnin susulan kenyataan Ahmad ketika persidangan Dewan Rakyat yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Menurut Sany, Ahmad tidak sepatutnya terus memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya sudah tidak selesa dengan pentadbiran kerajaan ketika ini.
“Saya nak cabar sahaja Ahmad Maslan ini. Kalau dah tidak kena selera dengan Kerajaan MADANI, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, saya cabar beliau letak jawatan.
“Letak jawatan segera. Jangan rasa bongkak, takbur dan sombong, ego dengan kemenangan yang kamu perolehi di Melaka,” katanya.
Sany turut mendakwa kenyataan Ahmad itu mengandungi sindiran terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau sekali lagi menggesa Ahmad supaya berundur daripada jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya sekiranya benar-benar tidak lagi sehaluan dengan kerajaan.
Ahmad Maslan Tidak Akan Letak Jawatan
Bagaimanapun, Ahmad menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan meskipun berdepan desakan beberapa Ahli Parlimen PH.
Menurut laporan media pada Selasa, Ahmad berkata pelantikannya sebagai Timbalan Menteri dibuat atas sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN), selain Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak pernah memintanya berundur.
Ahmad turut menyifatkan dirinya sebagai seorang yang tenang dan tidak melihat desakan berkenaan sebagai alasan untuk meninggalkan jawatan tersebut.
Desakan terhadap Ahmad turut disuarakan beberapa Ahli Parlimen PH lain, termasuk Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan; dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong. – The Malaysian Update
The post Sany Hamzan Cabar Ahmad Maslan Letak Jawatan, Dakwa Tidak Lagi Sehaluan Dengan Kerajaan MADANI appeared first on The Malaysian Update.






![“Presiden UMNO Tak Minta Saya Letak Jawatan” – Ini Respon Ahmad Maslan Selepas Kecoh Pantun ‘Kencing’ Di Parlimen [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/Ahmad-Maslan-1.jpg?t=1794897858)