
Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai, menggesa Kerajaan Persekutuan membuktikan keikhlasan membantu ekonomi Sabah dengan melaksanakan harga rata bagi petrol RON95.
“Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar ikhlas mahu membantu serta mengekalkan kestabilan ekonomi di Sabah, ia mesti mengekalkan harga rata RON95 untuk semua pengguna,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Beliau berkata pelaksanaan subsidi bersasar dengan sistem harga dua lapis – RM1.99 seliter untuk warganegara dan RM2.60 untuk bukan warganegara – adalah dasar yang tidak perlu dan membebankan, selain mengabaikan realiti unik Sabah.
“Hasrat kerajaan untuk mengelak ketirisan subsidi memang baik, namun ia tidak relevan di Sabah. Tidak seperti di tempat lain, trafik rentas sempadan dengan kenderaan asing adalah minimum.
“Aliran utama adalah dengan Brunei, dan harga minyak mereka (BN$0.36 atau RM1.18 seliter) jauh lebih rendah berbanding Malaysia, jadi tiada insentif ekonomi untuk mereka membeli minyak kita,” jelasnya.
Chin menegaskan harga rata lebih praktikal dan berkesan kerana bukan sahaja menguntungkan rakyat malah perniagaan tempatan.
“Sistem dua lapis ini membebankan pengguna dan stesen minyak. Ia memerlukan lebih ramai kakitangan untuk membuat pengesahan identiti bagi kadar berbeza, melambatkan perkhidmatan dan menambah kos operasi perniagaan tempatan,” katanya.
Beliau menyarankan harga rata RM1.99 seliter untuk semua pengguna di Sabah, memandangkan negeri ini merupakan pengeluar minyak. Katanya, langkah itu lebih baik berbanding sistem dua lapis semasa mahupun kadar rata RM2.05 sebelum ini.
“Harga RM1.99 untuk semua akan menjadi cara terus dan bermakna bagi mengurangkan kos sara hidup setiap rakyat Sabah.
“SAPP sejak dahulu memperjuangkan dasar yang disesuaikan dengan keperluan dan cabaran Sabah. Kami menggesa Kerajaan Persekutuan membuktikan keikhlasan dengan melaksanakan pendekatan lebih mudah, berkesan, dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat kita,” tegasnya.

