Sapura Industrial, Sarawak Skills jalin kerjasama tubuhkan pusat servis EV di Kuching

LocalTechnology
9 Sep 2025 • 4:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sapura Industrial, Sarawak Skills jalin kerjasama tubuhkan pusat servis EV di Kuching

image is not available

09/09/2025 - 16:19

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept – Sarawak bakal memiliki sebuah pusat servis kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di Kuching susulan termeterainya perjanjian kerjasama antara Sapura Industrial Bhd dan Sarawak Skills Development Centre.

Perjanjian itu dijalankan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang menetapkan penubuhan pusat perkhidmatan EV dan hibrid di negeri itu sekaligus menjadi hab penyelenggaraan dan servis kenderaan elektrik di Sarawak.

Selain itu, MoU berkenaan turut menekankan pembangunan program latihan teknikal dan pensijilan untuk tenaga kerja tempatan, selaras dengan usaha negeri memperkukuh kemahiran teknikal dalam sektor automotif moden.

Sapura Industrial berkata, kerjasama ini membolehkan anak syarikatnya, SIB Mili Sdn Bhd mengembangkan kehadirannya dari Semenanjung ke Malaysia Timur dan mengambil peluang awal dalam ekosistem EV Sarawak.

“Kami melihat inisiatif ini sebagai kelebihan perintis untuk SIB Mili, sambil menyokong agenda EV Sarawak dan memperkukuh kapasiti tenaga kerja tempatan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

MoU tersebut merangkumi bidang kritikal seperti reka bentuk latihan, pembangunan kurikulum, akreditasi dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, serta inisiatif pembangunan kapasiti termasuk program ‘train-the-trainer’.

Tempoh MoU ditetapkan selama tiga tahun, namun boleh ditamatkan lebih awal atas persetujuan bersama atau dengan notis enam bulan terlebih dahulu, mengikut syarat kontrak bertulis yang akan ditetapkan kemudian.

Sapura Industrial berkata, MoU itu tidak mewujudkan obligasi yang mengikat secara sah dan terma penuh akan dijelaskan dalam perjanjian susulan yang lebih terperinci.

Sejak diperbadankan pada Oktober 2024, SIB Mili terlibat dalam penyelenggaraan, pembaikan, dan servis kenderaan elektrik, selain menjalankan perdagangan, pembuatan, dan penjualan alat ganti berkaitan.

Kerjasama dengan Sarawak Skills dijangka dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia menghadapi keperluan industri EV yang semakin berkembang di negeri ini.

Penglibatan institusi latihan tempatan juga diharap dapat memperkukuh ekosistem EV Sarawak, menyokong objektif kerajaan negeri untuk mempercepatkan peralihan ke kenderaan mesra alam.

Dengan inisiatif ini, Sapura Industrial dan Sarawak Skills diharap menjadi pemangkin pembangunan EV di Sarawak, membuka peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh kapasiti tempatan dalam sektor automotif elektrik. - DagangNews.com

standard