Malaysia Airlines jalin kerjasama strategik dengan tiga negeri semarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026

09/09/2025 - 11:22
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 9 Sept – Malaysia Airlines menjalin kerjasama strategik bersama tiga lembaga pelancongan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak untuk memperkasakan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada persiapan awal syarikat penerbangan itu dalam menyokong promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menampilkan banyak lokasi menarik sebagai hab pelancongan serantau.
Kerjasama itu dimeterai sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) baru-baru ini iaitu dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) serta Penang Global Tourism (PGT).

Ketua Komersial Kumpulan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, syarikat penerbangan itu berperanan lebih daripada sekadar pengangkutan udara.
“Kami bangga menjadi pencerita mengenai keistimewaan Malaysia kepada dunia.
“Dengan kerjasama ini, peluang baharu dapat dibuka untuk memperkasa komuniti tempatan, merancakkan sektor pelancongan dan menyediakan pengalaman perjalanan bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Misi Malaysia Airlines adalah menampilkan Malaysia sebagai destinasi wajib dikunjungi dengan banyak lokasi percutian istimewa yang menjadi identiti syarikat.
Beliau berkata, bagi Langkawi, Malaysia Airlines dan LADA akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dua tahun pada suku keempat 2025 untuk meningkatkan kedudukan pulau itu sebagai destinasi pelancongan global.
“Kerjasama ini akan menonjolkan keunikan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark serta mengangkat imejnya sebagai permata Kedah di pentas antarabangsa.
“Di Sarawak, Malaysia Airlines akan memperluas program Bonus Side Trip dengan memasukkan Kuching sebagai destinasi tambahan kepada pelancong antarabangsa,” katanya.

Langkah itu dijangka meningkatkan ketibaan pelancong dari pasaran jarak jauh yang mencari pengalaman autentik meliputi biodiversiti, hutan hujan tropika dan warisan budaya.
Selain itu, beliau berkata, Pulau Pinang akan dipromosikan sebagai pintu masuk utama dan destinasi persinggahan dengan kempen pemasaran bersama di pasaran antarabangsa.
“Dengan kekuatan warisan, makanan dan budaya, Pulau Pinang bakal dikenali sebagai destinasi tunggal serta sebahagian daripada itinerari pelancongan lebih luas di Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan ekosistem pelancongan negara, malah memperlihatkan peranan Malaysia Airlines sebagai duta negara di rangkaian udara, memperkukuh ekonomi dan membina imej Malaysia di peringkat global," katanya. - DagangNews.com
standard




