
HULU SELANGOR, 11 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bekerjasama dengan pengurusan Empangan Sungai Selangor untuk menangguhkan sementara pelepasan air bagi memastikan arus sungai terkawal sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lelaki warga asing yang hilang di Sungai Pertak, di sini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Abdul Razak Muda berkata langkah itu penting bagi mengelakkan perubahan arus secara mendadak yang boleh menyebabkan kawasan pencarian menjadi lebih luas sekali gus menyukarkan usaha mengesan mangsa.
"Untuk memudahkan pencarian dan juga mengehadkan kawasan (pencarian) itu, kita berkomunikasi dengan pihak pengurusan empangan supaya tidak membuka aliran air sehingga kita menemukan semua mangsa," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak di sini hari ini.
Beliau berkata zon pencarian merangkumi jarak keseluruhan kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian hingga ke empangan berkenaan, dengan aliran air semasa bergerak dari Sektor D menuju ke Sektor C, B dan A.
Kawasan itu dibahagikan kepada empat sektor dengan Sektor A, B dan D masing-masing meliputi jarak satu kilometer, manakala Sektor C meliputi jarak antara 500 hingga 600 meter.
"Kami percaya tiga mangsa berkenaan mungkin masih berada di kawasan tidak melebihi jambatan ini (Jambatan Pertak) berikutan faktor pergerakan arus serta kemungkinan mangsa tersangkut pada halangan atau perangkap sampah di sepanjang sungai.
“Operasi hari ini turut dibantu dua anjing pengesan unit K9, Frankie dan Denti yang menjalankan pencarian selama kira-kira 20 minit bagi setiap sesi,” katanya.
Abdul Razak berkata operasi hari ini melibatkan 124 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata operasi SAR dijangka diteruskan hingga 6 petang ini bergantung kepada faktor cuaca, manakala tindakan susulan akan diselaraskan bersama pihak polis sekiranya operasi perlu dilanjutkan.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin lepas, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air.
Lima mangsa ditemukan lemas pagi semalam terdiri daripada warga tempatan V Vijayan, 36, warga Nepal yang dikenali sebagai Kapali, 49, dan B Kunjanmalayil, 35, warga India manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.
Usaha pencarian tiga lagi mangsa, iaitu dua warga India dan seorang warga Yaman masih diteruskan.




