SARA RM100: RM192.4 juta dibelanjakan lebih 2.9 juta rakyat dalam tempoh 3 hari

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 9:16 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) berkata lebih 2.9 juta pengguna membeli barangan keperluan asas menggunakan bantuan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh tiga hari dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.

Kementerian itu dalam kenyataan menjelaskan hari ketiga pelaksanaan SARA mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini dengan lebih 1.1 juta transaksi semalam.

Ia katanya, membabitkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat jam 10.30 malam Selasa berbanding RM50 juta pada Ahad lalu.

Malah jelasnya, kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 95% semalam berbanding 79% pada hari pertama 31 Ogos lalu.

“Peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos lalu menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025.”

MoF memaklumkan ini peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini dan bagi meningkatkan kelancaran sistem, kapasiti pemprosesan dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.

“Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem – termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir. Peningkatan ini dijangka mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna.

“Kementerian Kewangan menghargai sambutan menggalakkan daripada penerima. Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.”

SARA RM100 adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup dan penghargaan kepada rakyat, membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM2 bilion.

Bantuan itu sah hingga 31 Disember ini dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. - 3 September, 2025