Sarah buktikan wanita mampu kerja lasak, raih anugerah graduan terbaik UPM

3 Nov 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sarah buktikan wanita mampu kerja lasak, raih anugerah graduan terbaik UPM

BINTULU, 3 Nov – Tanggapan bahawa wanita kurang sesuai melakukan kerja lasak dalam bidang perhutanan tidak mematahkan semangat Sarah Hannani Ahmad Fikri, 23, untuk membuktikan kemampuannya sehingga dinobatkan sebagai Graduan Terbaik Bacelor pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1, di sini, hari ini.

Graduan Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu menerima Hadiah Live Animal Medical Centre sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya sepanjang pengajian.

Anak kelahiran Kedah itu berkata, bidang perhutanan bukan sahaja menuntut penguasaan ilmu, malah memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, terutama ketika menjalankan kerja lapangan dalam persekitaran hutan yang mencabar.

Menurutnya, beliau pernah berdepan persepsi bahawa wanita kurang sesuai melakukan kerja lasak, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira keadaan fizikal dan saiz badannya.

Image from: Sarah buktikan wanita mampu kerja lasak, raih anugerah graduan terbaik UPM
Sarah Hannani Ahmad Fikri Graduan Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu menerima Hadiah Live Animal Medical Centre sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya sepanjang pengajian.

Bagaimanapun, tanggapan itu menjadi pembakar semangat untuk membuktikan bahawa kemampuan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan jantina atau fizikal semata-mata.

Sarah yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, beliau tidak pernah menjangkakan akan menerima anugerah berkenaan dan menyifatkannya sebagai penghargaan terhadap segala usaha serta pengorbanan sepanjang pengajian.

Namun, baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar memperoleh keputusan akademik cemerlang atau menerima anugerah, sebaliknya apabila ilmu dan kehadiran seseorang mampu memberi manfaat kepada orang lain.

“Kalau ditanya tentang pencapaian paling bermakna, saya rasa ia bukan sekadar anugerah yang diterima atau jawatan yang pernah disandang.

“Apabila ada rakan seperjuangan yang masih mengingati saya, mencari saya dan mempercayai saya untuk membantu mereka, bagi saya itulah pengiktirafan yang paling besar,” katanya.

Mengulas pengalamannya, Sarah berkata, pengajian dalam bidang perhutanan membuka matanya mengenai kepentingan hutan yang bukan hanya melibatkan pengurusan pokok, tetapi turut merangkumi pemuliharaan hidupan liar, kepelbagaian biologi dan keseimbangan ekosistem.

Beliau berharap ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kerjaya kelak, khususnya untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan hidupan liar dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Dalam pada itu, Sarah turut menasihatkan mahasiswa supaya berani mencuba perkara baharu, keluar daripada zon selesa dan tidak takut menghadapi cabaran bagi membina keyakinan serta mengembangkan potensi diri.

“Bagi saya, kejayaan sebenar bukan hanya tentang sejauh mana kita pergi, tetapi bagaimana kita melayan orang lain sepanjang perjalanan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui dalam ucapan pada majlis berkenaan menegaskan bahawa kecemerlangan pendidikan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga keupayaan graduan menterjemahkan ilmu kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, sebaliknya menjadi medan untuk membina jati diri, mengasah bakat dan menyerlahkan potensi setiap individu.

Sehubungan itu, beliau menyeru graduan supaya sentiasa bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan, berani keluar daripada zon selesa dan memupuk sifat kepemimpinan serta tanggungjawab dalam diri.

Menurutnya, ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian perlu dimanfaatkan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara, selaras dengan moto UPM, ‘Berilmu Berbakti’.

Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 yang berlangsung pada 2 hingga 3 November di Dewan Sri Kenyalang, UPMS meraikan seramai 619 graduan, terdiri daripada 21 graduan Doktor Falsafah, 21 Sarjana, 100 Bacelor dan 477 Diploma.

The post Sarah buktikan wanita mampu kerja lasak, raih anugerah graduan terbaik UPM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved