Sarapan percuma untuk 120,000 pelajar di Selangor mulai Ogos ini - Amirudin

LocalFamily & Parenting
14 Jul 2026 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sarapan percuma untuk 120,000 pelajar di Selangor mulai Ogos ini - Amirudin
Amirudin berkata, Selangor akan melaksanakan program itu bermula Ogos ini.

SHAH ALAM - Pelaksanaan program sarapan percuma kepada pelajar di Selangor mengambil inspirasi daripada beberapa negara maju yang membuktikan inisiatif itu bukan satu pembaziran, sebaliknya pelaburan terhadap kesejahteraan kanak-kanak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa negara sudah lama melaksanakan penyediaan sarapan percuma di sekolah dengan menunjukkan kesan positif terhadap kebajikan serta perkembangan pelajar.

Beliau berkata, Selangor akan melaksanakan program itu bermula Ogos ini membabitkan kira-kira 120,000 pelajar di 965 sekolah termasuk sekolah rendah, menengah, sekolah agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta institusi berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

"Negara maju seperti Finland dan United Kingdom telah lama membuktikan sarapan percuma bukanlah pembaziran sebaliknya pelaburan.

"India juga memperkenalkannya pada 2022 dan menyaksikan peningkatan kehadiran serta penurunan keciciran pelajar secara ketara," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Sinar Harian pada 15 Jun lalu melaporkan, kerajaan Selangor akan melaksanakan program Sarapan Percuma kepada 120,000 pelajar di 965 sekolah seluruh negeri sebagai inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1.

Program itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban pelajar yang terkesan akibat kos sara hidup khususnya mereka yang tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, program itu akan disalurkan dua hingga tiga kali seminggu kepada pelajar yang dikenal pasti melalui data JPN Selangor bagi membantu mengurangkan beban keluarga yang memerlukan.

Menurutnya, penerima program itu sudah dikenal pasti dengan mekanisme pelaksanaan hampir sama seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah lama dijalankan.

"Selangor sedang melangkah ke arah yang sama dengan menjadikan sekolah bukan setakat tempat belajar yang selesa, malah tempat yang menjamin kesejahteraan setiap kanak-kanak.

"Ini antara usaha kerajaan Selangor membantu ibu bapa akibat krisis Asia Barat yang melanda," ujar beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved