Kesihatan mental pelajar: Selangor rancang pendekatan baharu bersama JPNS

LocalHealth & Fitness
13 Jul 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kesihatan mental pelajar: Selangor rancang pendekatan baharu bersama JPNS

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi merangka pendekatan baharu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar menerusi program kokurikulum di luar silibus sekolah.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap kesan media sosial dan gaya hidup semasa yang semakin mempengaruhi kesejahteraan mental golongan muda.

Menurut beliau, isu berkenaan memerlukan perhatian serius memandangkan kesannya boleh menjejaskan perkembangan serta kesejahteraan pelajar.

"Kes terbaharu melibatkan pelajar di Banting tidak mempunyai unsur buli. Namun, kes lain akan terus kita perhatikan kerana terdapat kesan yang serius terhadap kesihatan mental anak-anak akibat pengaruh media sosial dan gaya hidup semasa," katanya.

Katanya, isu berkenaan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh memandangkan ruang dalam silibus sedia ada agak terhad, justeru program kokurikulum dilihat sebagai platform sesuai untuk melengkapkan usaha memupuk kesejahteraan mental pelajar.

"Jadi hal ini perlu didekati dengan lebih menyeluruh. Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan mengenai kaedah menangani perkara ini melalui program kokurikulum di luar silibus kerana silibus agak terhad kepada peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pecah tanah kampus baharu Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng di Bandar Seri Coalfields, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan dan pihak berkaitan bagi memperkukuh langkah pencegahan serta intervensi awal dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved