hamden05/10/2026 - 15:42 KUCHING 5 Okt - Sarawak akan membangunkan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) Kuching di Tanjung Embang menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP), sebagai asas kepada pembangunan Grid AI dan pengembangan ekosistem AI negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg berkata kampus berkenaan akan disokong infrastruktur tenaga dan air khusus, kemudahan pengkomputeran AI serta kesalinghubungan digital.
“Kampus ini bertujuan menyediakan asas fizikal bagi pembangunan Grid AI, selain mewujudkan platform untuk menarik pelaburan, memperkukuh ekosistem pusat data dan menyokong pertumbuhan perniagaan serta keupayaan berkaitan AI di Sarawak,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di sini pada Isnin.
Menurutnya, Grid AI akan dibangunkan seiring kampus berkenaan bagi menghubungkan sumber pengkomputeran dan memanfaatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
Beliau berkata aspirasi AI Sarawak turut disokong Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) dan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Sarawak 2026-2030.
“SAIC memainkan peranan utama dalam memajukan agenda AI Sarawak dengan menghimpunkan pembangunan keupayaan AI, bakat, aplikasi dan infrastruktur yang dipercayai.
“Hala tuju ini diperkukuh menerusi Pelan Hala Tuju AI Sarawak yang sedang dibangunkan bagi menyediakan pendekatan bersepadu terhadap pembangunan AI merentasi kerajaan, industri, akademia dan penyelidikan,” katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak yang dilancarkan pada Ogos menyediakan asas bagi pengkomputeran AI yang ditadbir secara tempatan serta pengurusan data strategik kerajaan secara selamat.
“Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini menunjukkan perkembangan daripada strategi kepada infrastruktur, daripada infrastruktur kepada aplikasi.
“Signifikannya terletak pada keupayaan kita untuk menggunakan AI secara bertanggungjawab bagi memenuhi keutamaan Sarawak,” katanya.
Sarawak hos Sidang Kemuncak AI Global Witsa 2027
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak AI Global Perikatan Dunia Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan (Witsa) pada tahun depan, bersempena edisi ke-10 IDECS.
Abang Johari berkata sidang kemuncak itu akan memperkukuh kerjasama Sarawak dengan Witsa menerusi rangkaian ekosistem AI globalnya, selain menghimpunkan pemimpin daripada industri teknologi, kerajaan dan ekosistem inovasi.
“Ia juga akan membawa platform antarabangsa ke Sarawak, termasuk Anugerah AI Global Witsa, Piala Dunia Witsa kedua bagi Trofi Cabaran Zohari dan pelancaran Indeks AI Global Witsa kedua,” katanya. - DagangNews.com





