Kelington peroleh kontrak tambahan RM133 juta pembinaan fasiliti pembuatan storan data di Kuching

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 1:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington peroleh kontrak tambahan RM133 juta pembinaan fasiliti pembuatan storan data di Kuching Image from: Kelington peroleh kontrak tambahan RM133 juta pembinaan fasiliti pembuatan storan data di Kuching amree05/10/2026 - 13:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt — Kelington Group Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor infrastruktur teknologi di Sarawak apabila anak syarikat miliknya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB) berjaya memperoleh kontrak tambahan bernilai RM133 juta di Kuching.

 

Penganugerahan tender terbaharu ini sekali gus melonjakkan nilai kumulatif keseluruhan projek pembinaan fasiliti pembuatan storan data termaju di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya itu kepada sejumlah RM416 juta.

 

Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak daripada sebuah syarikat pembuatan bertaraf antarabangsa itu diterima KTSB pada 2 Oktober 2026 bagi menyokong pelan pembesaran projek berkenaan.

 

"Menerusi tender tersebut, KTSB diberi tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja utama struktur keluli yang membentuk komponen penting dalam keseluruhan pembangunan fasiliti storan data termaju berkenaan," kata Kelington.

 

Syarikat penyedia rumusan kejuruteraan itu memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan dijangka bermula dengan serta-merta dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang April 2028.

 

Penganugerahan ini menyusul selepas pengumuman kumpulan itu pada 29 September 2026 mengenai kontrak awal bernilai RM172 juta yang diraih KTSB bagi kerja-kerja kejuruteraan dan pembangunan infrastruktur peringkat awal.

 

Kelington_DagangNews2026

 

Secara keseluruhan, gabungan nilai kontrak awal dan tempahan pembelian terdahulu adalah berjumlah RM283 juta, sebelum terus meningkat kukuh dengan tambahan RM133 juta menerusi anugerah terbaharu ini.

 

"Kelington menjangka kontrak baharu ini akan memberi sumbangan positif kepada perolehan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tahun-tahun seterusnya sehingga projek selesai," katanya.

 

Selain itu, KTSB turut melahirkan keyakinan untuk terus meraih lebih banyak kontrak susulan daripada pelanggan yang sama membabitkan pelbagai skop kerja berbeza bagi projek pembangunan di Kuching tersebut.

 

Mengenai aspek risiko dan ekuiti, kumpulan mengesahkan anugerah berkenaan tidak memberikan sebarang kesan material terhadap modal saham mahupun pegangan pemegang saham utama syarikat, selain berdepan risiko operasi biasa sahaja.

 

Lembaga Pengarah Kelington turut menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkepentingan mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak ini, dan penerimaannya disifatkan demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved