Kelington raih kontrak RM172 juta sediakan kemudahan pembuatan storan data di Sarawak

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 1:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington raih kontrak RM172 juta sediakan kemudahan pembuatan storan data di Sarawak Image from: Kelington raih kontrak RM172 juta sediakan kemudahan pembuatan storan data di Sarawak johardy29/09/2026 - 13:23 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept - Kelington Group Berhad menerusi anak syarik at milik penuhnya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB), memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM172 juta bagi kerja kejuruteraan dan pembangunan infrastruktur peringkat awal sebuah kemudahan pembuatan storan data termaju di Kuching, Sarawak.

 

Kontrak itu diberikan oleh sebuah syarikat pembuatan yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya. Kelington tidak menamakan pelanggan berkenaan.

 

Skop kerja merangkumi pembangunan tapak, sistem asas bangunan dan infrastruktur bekalan elektrik voltan tinggi yang kritikal. Kerja itu adalah sebahagian daripada projek pembesaran pelanggan berkenaan yang melibatkan reka bentuk dan pembinaan kemudahan tersebut.

 

Menurut Kelington, kerja dijangka bermula segera dan dijadualkan siap menjelang Ogos 2027.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Seng Chuan berkata, kontrak terbaharu itu memperluas penglibatan kumpulan dalam projek berkenaan dan menunjukkan keupayaannya mengambil peranan yang lebih besar dalam pembangunan kemudahan pembuatan storan data termaju.

 

Sebelum ini, KTSB turut memperoleh satu kontrak dan beberapa pesanan pembelian daripada pelanggan yang sama, terutamanya bagi kerja mereka bentuk dan membina kemudahan pembuatan storan data termaju serta infrastruktur berkaitan untuk projek tersebut. Nilai keseluruhannya kira-kira RM111 juta.

 

 

Lim Seng Chuan
Lim Seng Chuan

 

Nilai kontrak projek cecah RM283 juta

Dengan kontrak terbaharu itu, jumlah nilai kontrak dan pesanan pembelian yang diperoleh Kelington bagi projek berkenaan meningkat kepada kira-kira RM283 juta.

 

Lim berkata, peluasan skop kerja mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan kejuruteraan dan pelaksanaan Kelington.

 

Kumpulan itu menjangka memperoleh lebih banyak kontrak daripada pelanggan berkenaan bagi pelbagai skop kerja dalam beberapa minggu akan datang.

 

Beliau berkata, sebarang perkembangan penting, termasuk perubahan pada jumlah nilai kontrak terkumpul, akan diumumkan apabila diperlukan.

 

Kelington turut menjangkakan kontrak yang diperoleh itu menyumbang secara positif kepada pendapatannya dan memberikan gambaran lebih jelas mengenai pendapatan sehingga kerja berkenaan selesai.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan itu memperoleh kontrak baharu bernilai RM1.23 bilion.

 

Selepas mengambil kira kontrak susulan bernilai RM2.37 bilion serta kontrak terbaharu bernilai RM172 juta, jumlah kontrak baharu yang diperoleh setakat tahun ini mencecah kira-kira RM3.77 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved