
Sarawak Energy tutup beberapa pencawang elektrik sebagai langkah keselamatan
Sarawak Energy Ambil Langkah Berjaga-Jaga, Bekalan Elektrik Terganggu Akibat Banjir. Dilaporkan, Sarawak Energy telah mengambil langkah proaktif dengan menutup beberapa pencawang elektrik sebagai langkah keselamatan susulan banjir dan tanah runtuh yang semakin memburuk.
Dalam satu kenyataan media, Sarawak Energy memaklumkan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan awam serta membolehkan pasukan teknikal mereka bersedia untuk memulihkan bekalan dengan cepat dan selamat. Hujan lebat berterusan telah menyebabkan banjir besar di beberapa kawasan, sekaligus mengakibatkan gangguan bekalan elektrik secara meluas.

Kenapa ada gangguan elektrik walaupun rumah tak dinaiki air?
Bagi mereka yang tinggal di kawasan tidak terjejas banjir tetapi mengalami gangguan elektrik, ini mungkin berpunca daripada pencawang yang ditutup atau talian elektrik yang rosak akibat cuaca buruk. Pasukan teknikal Sarawak Energy sedang berada di lokasi terjejas dan pasukan tambahan juga telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga 24 jam untuk tindakan segera.
Namun, mereka mengakui bahawa usaha pemulihan menghadapi cabaran besar seperti hujan lebat berterusan, keadaan berbahaya serta laluan yang sukar diakses.
Walaupun keadaan mencabar, semua loji janakuasa termasuk stesen hidroelektrik di Bakun, Murum, dan Batang Ai masih beroperasi seperti biasa dengan paras takungan air yang stabil.

Elak bahaya elektrik semasa banjir
Sarawak Energy turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan risiko elektrik, seperti:
- Jauhi talian elektrik yang tumbang kerana ia mungkin masih aktif dan boleh menyebabkan renjatan.
- Jika air mula naik, tutup bekalan elektrik di papan suis utama.
- Pindahkan peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi sebelum air banjir sampai ke rumah anda.
- Jangan gunakan peralatan elektrik yang telah tenggelam dalam air banjir sebelum diperiksa oleh juruelektrik bertauliah.

Jika anda berada di dalam bot di kawasan banjir, pastikan anda berhati-hati dengan talian elektrik kerana paras air yang tinggi boleh menyebabkan ia lebih hampir dengan talian bertekanan tinggi.
Selepas banjir surut, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menghidupkan elektrik di rumah tanpa pemeriksaan rapi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti renjatan atau kebakaran.
Untuk sebarang insiden berkaitan bekalan elektrik atau kemalangan akibat cuaca buruk, Sarawak Energy boleh dihubungi 24/7 di talian 1300-88-3111 atau melalui aplikasi SEB Cares menggunakan fungsi ‘Make A Report’.
Jadi, jika anda berada di kawasan terjejas, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga dan patuhi langkah keselamatan yang disarankan. Keselamatan anda lebih penting daripada segalanya!
Lagi berita terkini untuk anda di sini:

