Sarawak jalin kerjasama dengan makmal dari UK perluas R&D dalam industri semikonduktor

LocalTechnology
25 Sep 2025 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak jalin kerjasama dengan makmal dari UK perluas R&D dalam industri semikonduktor

image is not available

25/09/2025 - 10:52

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – Kerajaan Sarawak akan menjalin kerjasama dengan makmal semikonduktor di United Kingdom sebagai langkah memperkukuhkan kedudukannya dalam rantaian industri berteknologi tinggi global.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu juga adalah sebahagian strategi memperluaskan capaian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor tersebut.

Beliau berkata, Sarawak juga akan bekerjasama dengan lebih banyak dengan pemain industri antarabangsa sekali gus membuka peluang penubuhan kilang fabrikasi cip (foundry) di negeri itu pada masa akan datang.

“Kerjasama dengan makmal luar negara penting bagi membolehkan kita meluaskan capaian dalam bidang semikonduktor.

“Hasil kajian yang dijalankan juga boleh membawa kepada pembangunan kilang fabrikasi cip di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan penukar kuasa keteq.GaN dan keteq.ai sempena pameran Microelectronics UK di London, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

image is not available

Menurut Abang Johari, Sarawak bertuah kerana mendapat sokongan pelabur dan rakan strategik seperti X-FAB dan Melexis, selain sokongan penyelidikan daripada Catapult UK.

Katanya, dengan teknologi baharu seperti keteq.GaN, Sarawak berpeluang membangunkan kilang tersebut bersama X-FAB yang akan membuka ruang lebih luas dalam rantaian nilai global.

Dalam pada itu beliau berkata, Sarawak juga memfokuskan kepentingan logistik yang kukuh bagi menyokong pembangunan industri.

Katanya, pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri dan penjenamaan semula kepada AirBorneo adalah sebahagian usaha menyediakan perkhidmatan kargo udara.

“Dengan adanya pesawat kargo, kita boleh menghantar produk bernilai sekitar AS$3 bilion (RM13.24 bilion) ke pasaran.

“ASEAN kini menjadi tumpuan pelaburan dan akan menjadi pengambil utama cip yang dihasilkan,” jelas beliau.

Abang Johari turut menekankan keperluan untuk mereka cip mengikut permintaan industri semasa, khususnya sektor automotif yang dijangka terus berkembang pesat.

Tambahnya, peralihan global daripada bahan api fosil kepada tenaga hijau termasuk hidrogen juga bakal merancakkan lagi permintaan terhadap cip generasi baharu. - DagangNews.com

featured standard