Malaysia, Timor Leste jalin kerjasama wujudkan kemudahan roaming ASEAN

LocalTechnology
25 Sep 2025 • 12:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, Timor Leste jalin kerjasama wujudkan kemudahan roaming ASEAN

image is not available

25/09/2025 - 12:11

KUALA LUMPUR 25 Sept – Malaysia akan bekerjasama dengan Timor-Leste untuk mewujudkan kemudahan pelan internet ‘ASEAN roaming’ untuk memperkukuh kesalinghubungan digital menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta segera mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Banyak syarikat telekom mempunyai pelan internet roaming masing-masing, namun kita mahu mewujudkan pelan ASEAN yang lebih menyeluruh.

“Dengan adanya kemudahan ini, pelancong Malaysia yang berkunjung ke Dili dapat menikmati akses internet yang lebih mudah dan berpatutan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dili, Timor Leste.

Fahmi berkata, pengalaman Malaysia dalam melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, liputan meluas serta harga berpatutan boleh dikongsi dengan Timor-Leste.

“Usaha ini dapat memperkukuh infrastruktur telekomunikasi Timor-Leste.

“Hanya kira-kira 15 peratus daripada 1.4 juta penduduk Timor-Leste memiliki telefon bimbit, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk kerjasama lebih meluas dalam sektor digital,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar BERNAMA, RTM dan MCMC menjalinkan kerjasama dengan rakan mereka di Timor-Leste, termasuk menjemput wartawan negara itu mengikuti kursus di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

“Langkah ini akan membantu meningkatkan profesionalisme kewartawanan, memperkukuh kapasiti media dan memberi pendedahan kepada teknologi baharu,” katanya.

Fahmi berkata, lawatan rasmi dua hari Anwar ke Timor-Leste yang berakhir hari ini amat signifikan kerana ia merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 22 tahun dan berlangsung hanya beberapa minggu sebelum negara itu diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN.

“Detik bersejarah ini bakal menyaksikan kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-47, sesuatu yang amat bermakna bagi hubungan dua hala dan rantau ini,” katanya.

Terdahulu, delegasi BERNAMA turut melawat Tatoli, agensi berita nasional Timor-Leste, bagi meneroka kerjasama dalam pertukaran kandungan berita. – BERNAMA

standard