Telekom Malaysia, NCT Group perluas kerjasama bangunkan taman perindustrian pintar di seluruh negara

LocalTechnology
18 Sep 2025 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Telekom Malaysia, NCT Group perluas kerjasama bangunkan taman perindustrian pintar di seluruh negara

image is not available

18/09/2025 - 11:06

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Telekom Malaysia Bhd melalui TM One dan Kumpulan NCT memperluas kerjasama strategik mereka untuk membangunkan taman perindustrian pintar dan lestari di seluruh Malaysia.

Menerusi Memorandum Kerjasama (MoC) yang dimeterai pada Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, kedua-dua pihak bersetuju mengembangkan projek baharu selepas kejayaan pelaksanaan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di Selangor pada 2022.

Kerjasama itu menyaksikan TM menyediakan rangkaian berkelajuan tinggi, penyelesaian pintar, perkhidmatan awan serta ICT bagi menyokong operasi NCT termasuk pembangunan NCT Innosphere dalam Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan di Kedah dan ibu pejabat korporat kumpulan tersebut.

Kedua-dua syarikat turut merancang strategi pasaran bersama untuk mengetengahkan taman perindustrian pintar sebagai hab pelaburan sedia masa depan, yang mampu menarik industri bernilai tinggi serta pelabur tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi TM menjadi kuasa digital menjelang 2030 dengan memacu pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan industri negara.

“Melalui Vision AI, pusat operasi cerdas, sistem pengurusan bangunan pintar dan penyelesaian digital lain, kami memacu taman perindustrian pintar NCT menjadi hab bersepadu penuh untuk manfaat syarikat dan komuniti,” katanya.

image is not available

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, kerjasama dengan TM akan mengulangi kejayaan NSIP dan membentuk model negara bagi taman perindustrian pintar serta hijau.

“NSIP hari ini bersedia untuk menjadi hab serantau kompetitif bagi industri bernilai tinggi, perusahaan inovatif dan pelabur global sejajar dengan Rangka Kerja Bandaraya Pintar Malaysia,” jelasnya.

NSIP yang terletak di Selangor dilengkapi kemudahan teknologi canggih termasuk gentian berkelajuan tinggi, liputan 5G awam, rangkaian IoT, ekosistem keselamatan berasaskan AI, lampu jalan pintar, pengurusan trafik, sensor alam sekitar serta kilang tenaga solar.

Dengan perluasan kerjasama ini, TM dan NCT yakin projek taman perindustrian pintar akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara, selain menyokong agenda kelestarian dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com

standard