
Pembangunan ini akan dilaksanakan dalam masa 18 bulan
Sarawak Peruntuk 200 Juta Untuk Baik Pulih Sekolah Serta Klinik Daif. Dilaporkan bahawa, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM200 juta bagi membangunkan semula sekolah dan klinik daif di sini.
Beliau berkata jumlah itu diperuntukkan sebagai inisiatif pembiayaan terlebih dahulu oleh Sarawak bagi projek Persekutuan di negeri ini.

100 juta buat sekolah daif dan 100 juta buat klinik daif
Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan RM100 juta bagi kerja baik pulih sekolah daif dan RM100 juta lagi untuk klinik daif dan perkara ini akan dilaksanakan dalam masa 18 bulan, kata beliau.
Tambah beliau lagi, melalui inisiatif (pembiayaan terlebih dahulu) ini, pihak kerajaan boleh mempercepatkan pelaksanaan projek dan Sarawak boleh mendahulukan peruntukan kemudian diikuti bayaran semula dari kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis makan malam Gawai Dayak peringkat negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin negeri Sarawak yang lain.
Pada 30 Mac lepas, PM telah mengumumkan Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek Persekutuan di negeri itu bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
Menurut Anwar kerjasama berkenaan yang bakal melakar sejarah akan bermula dengan pelaksanaan projek Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan.
