hamden04/11/2026 - 11:20 Loji Rawatan Air Salim di Sibu dalam proses naik taraf. - Gambar/IG Perbena Emas KUCHING 4 Nov – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM300 juta bagi menaik taraf Loji Rawatan Air Salim, Sibu yang dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran air terawat daripada 150 juta liter sehari kepada 300 juta liter sehari.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peningkatan kapasiti itu diperlukan bagi menangani kekurangan margin simpanan bekalan air di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan kerja naik taraf loji rawatan air tunggal terbesar setakat ini di Sarawak dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
"Projek itu dijangka siap pada awal 2027 dan akan meningkatkan bekalan air terawat untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan bandar, kampung serta rumah panjang, selain sektor perindustrian," katanya lapor TVS.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Acute System Rantau Panjang di SIbu dan seterusnya mengadakan lawatan ke projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim Sibu pada Selasa.
Selain Loji Rawatan Air Salim, beberapa loji lain di wilayah tengah Sarawak turut menjalani kerja naik taraf bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat.
Antaranya, Loji Rawatan Air Basong di Mukah yang sedang dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti daripada 60 juta liter sehari kepada 120 juta liter sehari.
Loji Rawatan Air Bayong di Sarikei pula mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100 juta liter sehari, manakala Loji Rawatan Air Bukit Lima di Sibu berkapasiti 45 juta liter sehari.
Loji Rawatan Air Tanjung Manis pula mempunyai kapasiti sebanyak 30 juta liter sehari, sementara Loji Rawatan Air Kapit hampir mencapai kapasiti 30 juta liter sehari.
Bagi Loji Rawatan Air Kapit, kelulusan reka bentuk bagi kerja peluasan kapasiti telah diberikan.
Dalam pada itu, pembinaan dua loji rawatan air baharu turut dilaksanakan di wilayah tengah, iaitu Loji Rawatan Air Kanowit dengan kapasiti 20 juta liter sehari dan Loji Rawatan Air Song berkapasiti 25 juta liter sehari.
Kesemua projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bekalan Air Sarawak yang bertujuan memperkukuh kapasiti pengeluaran air terawat di wilayah tengah negeri itu. - DagangNews.com



