Sarawak tambah peruntukan RM1.51 juta tingkatkan pengeluaran padi di Gedong menerusi projek Sandbox 

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak tambah peruntukan RM1.51 juta tingkatkan pengeluaran padi di Gedong menerusi projek Sandbox  Image from: Sarawak tambah peruntukan RM1.51 juta tingkatkan pengeluaran padi di Gedong menerusi projek Sandbox  hamden03/11/2026 - 17:57 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.51 juta bagi memperkukuh pelaksanaan projek Sandbox Gedong yang menggunakan teknologi pertanian pintar untuk meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran padi di negeri itu.

 

Projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Sarawak (UPMS) dan Putra Science Park, dengan mengintegrasikan pelbagai teknologi serta hasil penyelidikan universiti bagi meningkatkan kecekapan penanaman padi.

 

Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, inisiatif itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran padi, malah menyokong usaha Sarawak memperkukuh keterjaminan makanan menerusi pembangunan sektor pertanian berasaskan inovasi.

 

Menurutnya, usaha berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

 

Beliau berkata, UPMS memainkan peranan penting sebagai Wadah Keterjaminan Makanan Borneo dengan memanfaatkan kekayaan sumber, kepelbagaian komuniti serta potensi pembangunan Sarawak.

 

“Ini membuka peluang luas untuk mengintegrasikan ilmu pertanian, sains, teknologi dan pengurusan dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang mampu memberikan manfaat nyata kepada masyarakat serta menyokong agenda keterjaminan makanan di Borneo,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan dan kerjasama erat kerajaan negeri dalam memperkukuh peranan UPMS.

 

Peter Chin yakin kerjasama antara UPMS dan Kerajaan Sarawak akan terus menggerakkan aspirasi negeri ke arah Sarawak Maju Makmur 2030.

 

UPM1
Tan Sri Peter Chin Fah Kui (kiri) menyampaikan Hadiah Live Animals Medical Centre kepada Sarah Hannani Ahmad Fikri (dua dari kanan), penerima Graduan Terbaik Bacelor pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak.

 

Graduan ceburi sektor makanan, pertanian

Dalam pada itu, beliau menggalakkan graduan supaya melihat sektor makanan dan pertanian sebagai bidang yang menawarkan peluang luas untuk meneroka inovasi, menyumbang kepakaran serta membina kerjaya.

 

“Carilah peluang untuk menyumbang kepakaran kepada kesejahteraan masyarakat dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

 

Pada majlis sama, UPMS buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Pingat Emas Alumni kepada graduan diploma.

 

Anugerah tajaan Persatuan Alumni UPM itu diberikan kepada graduan berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan secara holistik.

 

Peter Chin berharap pengenalan anugerah berkenaan dapat menyemai rasa bangga dalam kalangan graduan serta mengukuhkan hubungan berterusan antara alumni dengan UPM sebagai alma mater.

 

Sementara itu, seramai 619 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 yang berlangsung di UPMS pada 2 dan 3 November 2026.

 

Daripada jumlah itu, seramai 21 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 21 graduan menerima Ijazah Sarjana, 100 graduan menerima ijazah Bacelor dan 477 graduan menerima diploma dalam pelbagai bidang pengajian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved