
Sarawak Sasar Jadi Kuasa Besar Tenaga Hijau ASEAN Menjelang 2035. Kerajaan Sarawak berhasrat untuk meningkatkan kapasiti elektrik kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar tenaga hijau di Asean, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak, pengembangan ini akan menyokong industri, memacu teknologi hijau dan membolehkan eksport elektrik ke peringkat serantau.

“Kami tidak akan berhenti di sini. Sarawak bertekad menjadi ‘Bateri Asean’ dengan membekalkan tenaga bersih dan memperkukuh keterhubungan rentas sempadan.
“Menerusi inisiatif ASEAN Power Grid, kami bukan sahaja memastikan keselamatan tenaga serantau, tetapi juga meneroka kaedah penyimpanan tenaga bagi mengoptimumkan bekalan dan pengagihan tenaga,” katanya dalam syarahan umum di ISEAS Yusof Ishak Institute, Singapura hari ini.
Fokus kepada Hidrogen Hijau dan Teknologi Karbon
Abang Johari menegaskan bahawa dengan permintaan bahan api bersih yang semakin meningkat di Asia, Sarawak sedang mempercepatkan pengeluaran hidrogen hijau secara komersial dengan memanfaatkan sumber tenaga hidro yang melimpah di negeri itu.
Beliau berkata, kerjasama dengan Jepun, Korea Selatan dan China telah memperluaskan rantaian bekalan hidrogen Sarawak, menjadikan negeri ini sebagai peneraju ekonomi hidrogen hijau di Asia Pasifik.
“Namun, hidrogen hijau sahaja tidak mencukupi untuk menghapuskan pelepasan karbon dalam semua industri. Sarawak sedang mengintegrasikan teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) untuk mengurangkan pelepasan karbon serta membuka peluang ekonomi baharu yang rendah karbon,” katanya.
Menurutnya, Malaysia dan Jepun sedang memperkukuh kerjasama dalam pembangunan serta perdagangan ammonia, yang diiktiraf sebagai pembawa tenaga rendah karbon dan penyelesaian utama bagi pengurangan pelepasan karbon.
“Kerjasama ini selari dengan strategi peralihan tenaga bersih kedua-dua negara, dengan Sarawak berperanan sebagai pembekal utama ammonia rendah karbon kepada Jepun.
“Kami juga bekerjasama dengan Jepun untuk menukar metana kepada ammonia menggunakan teknologi gas sintesis (syngas), yang dapat memaksimumkan kecekapan sumber sambil mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.
Meningkatkan Pengeluaran Bahan Api Rendah Karbon
Abang Johari turut berkongsi bahawa Sarawak kini menggandakan pengeluaran bahan api rendah karbon bagi menyokong peralihan industri dan tenaga.
“Kami memperluaskan inisiatif bahan api rendah karbon. Pada Julai 2024, Kompleks Metanol Sarawak dilancarkan bagi memacu pertumbuhan industri dan menyokong peralihan kepada bahan api hijau.
“Bulan lalu pula menjadi detik penting dalam peralihan tenaga hijau kami dengan penghantaran eksport metanol pertama oleh Sarawak Petchem ke China, serta majlis pecah tanah bagi Loji Metanol Hijau.
“Fasiliti ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran bahan api mampan, sekaligus memacu pertumbuhan industri dan menyokong peralihan tenaga yang lebih luas,” ujarnya.
Apabila beroperasi kelak, loji ini mampu meningkatkan pengeluaran metanol rendah karbon yang akan menyokong industri kimia, penjanaan kuasa, sektor pengangkutan serta pengisian bahan api hijau untuk industri perkapalan.
Arah Tuju Sarawak ke Arah Peralihan Tenaga
Inisiatif ini, katanya, adalah sebahagian daripada strategi besar Sarawak untuk mengurangkan pelepasan karbon, di mana tenaga boleh diperbaharui dan teknologi CCUS diintegrasikan bagi menurunkan tahap pelepasan di pelbagai sektor.
“Sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga rendah karbon, kami mengoptimumkan penggunaan sumber gas asli bagi peralihan terancang kepada tenaga yang lebih bersih.
“Dilancarkan pada November lalu, Peta Jalan Gas Sarawak menggariskan strategi pemaksimuman pemanfaatan gas asli sambil mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui dan CCUS untuk memperkukuh keselamatan serta kemampanan tenaga,” tambahnya.
Abang Johari turut menyatakan bahawa biomassa memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga di Sarawak, di mana sisa pertanian sedang ditukar kepada biofuel, biogas dan syngas untuk menyokong usaha nyahkarbonisasi industri.
“Sebagai tambahan kepada komitmen ini, penyelidikan mengenai Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berasaskan mikroalga sedang giat dijalankan, membuka peluang baharu untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor penerbangan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjalanan Sarawak ke arah pertumbuhan mampan turut merangkumi pembangunan bandar hijau dan transformasi digital, yang bertujuan mewujudkan bandar pintar, cekap serta mesra alam.
Baca juga artikel lain :

