
PUTATAN: Skuad Anak Sabah (SAS) menyalurkan bantuan makanan dan minuman kepada mangsa banjir di tiga Pusat Penempatan Sementara (PPS) iaitu PPS Inobong Penampang, PPS Dewan Keramat Putatan dan PPS Dewan Masyarakat Papar sempena sambutan Hari Malaysia.
Ketua Penerangan SAS Iskandar Zulkarnain Ramli berkata lebih 100 ahli daripada 10 bahagian SAS menyertai program berkenaan termasuk kerja pembersihan di kawasan PPS sebagai sokongan moral kepada mangsa terjejas.
Katanya inisiatif berkenaan adalah sebahagian agenda kebajikan SAS yang baru ditubuhkan selain bakal diperluas ke seluruh Sabah termasuk Zon Pantai Timur, Utara dan Pedalaman.
“Selain bantuan kebajikan SAS juga akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat menerusi inisiatif seperti penubuhan koperasi,” katanya pada program berkenaan di PPS Dewan Keramat, 16 September lalu.
Iskandar berkata program seumpama itu akan diperluaskan ke seluruh wilayah ini kerana fungsi SAS adalah membawa ‘suara’ rakyat Sabah kepada kerajaan negeri dan persekutuan.
Menurutnya matlamat SAS bukan saja kebajikan tetapi merangkumi aspek pemerkasaan ekonomi rakyat Sabah menerusi pelbagai inisiatif yang telah dirancang.
“Antara perancangan bagi memperkasa ekonomi anak Sabah kita bercadang mewujudkan koperasi SAS yang secara tidak langsung akan memainkan peranan penting untuk mencapai aspirasi itu.
“Justeru kami mengalu-alukan penyertaan lebih ramai anak-anak Sabah untuk bersama dalam SAS membawa suara dan aspirasi rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun ideologi politik,” katanya.



