KUALA LUMPUR - Malaysia berpotensi sebagai hab protein halal serantau menerusi kerjasama strategik antara Tradewinds (M) Berhad (TWM) dan Tanmiah Food Company (Tanmiah), dari Arab Saudi yang merangkumi penerokaan pelaburan kilang, pemindahan teknologi serta eksport ke pasaran Asia Pasifik.
Kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran teknikal dan keupayaan pengeluaran ayam bersepadu Tanmiah dengan kehadiran pasaran TWM di Malaysia, rangkaian komersial serta keupayaan perdagangan serantaunya.
Berasaskan peluang akses pasaran berkenaan, kedua-dua syarikat turut akan meneroka potensi pemprosesan lanjut di Malaysia, termasuk kemungkinan pelaburan bersama dalam sebuah kemudahan pemprosesan yang memenuhi keperluan saluran runcit, perkhidmatan makanan dan restoran perkhidmatan segera.
Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan TWM, Farhan Hafetz berkata, sebagai langkah awal, kedua-dua syarikat akan menilai potensi mengimport produk ayam yang dihasilkan di Arab Saudi ke Malaysia.
Menurutnya, dengan menggabungkan bekalan import dan keupayaan pemprosesan tempatan, kerjasama tersebut berpotensi mewujudkan nilai tambah di Malaysia sebelum diperluaskan ke pasaran terpilih di Asia Pasifik.
"Fasa pertama ialah membawa masuk produk dari Arab Saudi. Fasa kedua ialah pembukaan kilang dengan menggunakan teknologi yang dibawa dari Arab Saudi.
"Untuk membawa masuk produk, prosesnya dijangka mengambil masa kira-kira setahun. Jadi, paling awal pun sekitar penghujung tahun depan, insyaALLAH kita boleh mula melihat hasil daripada kerjasama ini.
"Bagi pembukaan kilang pula, jangka masanya sekitar tiga hingga empat tahun akan datang.
"Namun, penting untuk ditegaskan bahawa kerjasama ini bukan hanya tertumpu kepada Malaysia, tetapi juga sebagai platform untuk berkembang ke seluruh pasaran Asia Tenggara," katanya ditemui pemberita selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, di sini, pada Khamis.
**media[3657714]**
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TWM, Dennis Foo dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Tanmiah Food Company, Samer Alsourani.
Tanmiah antara pengeluar ayam dan makanan bersepadu terkemuka Arab Saudi yang tersenarai di Bursa Saudi.
Farhan menambah, sebelum ini, TWM lebih dikenali dalam produk komoditi seperti beras, gula, tepung, roti dan makanan asas lain dan kerjasama tersebut merupakan langkah pertama syarikat memasuki segmen baharu iaitu pasaran protein.
"Ada satu perkara yang menarik mengenai pasaran Arab Saudi. Di sana, pengguna lebih menggemari bahagian dada ayam.
"Sebaliknya di Malaysia, kita semua tahu pengguna lebih menyukai bahagian paha dan drumstick. Jadi, bahagian yang kurang mendapat permintaan di Arab Saudi sebenarnya mempunyai potensi yang baik di pasaran Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanmiah Food Company, Zulfigar Hamadani dalam kenyataan berkata, kerjasama berkenaan menandakan satu langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan antarabangsa syarikat itu.
“Ekosistem halal Malaysia yang kukuh serta kedudukan strategiknya di Asia Pasifik, digabungkan dengan keupayaan ayam bersepadu Tanmiah, menyediakan platform yang amat menarik untuk meneroka peluang baharu dalam sektor protein halal.
“Bersama Tradewinds, kami berharap dapat meneroka cara untuk membawa produk halal premium yang dipercayai dan berkualiti tinggi kepada pengguna di seluruh rantau ini, sambil memperkukuh hubungan antara Arab Saudi, Malaysia dan pasaran Asia Pasifik yang lebih luas,” katanya.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Supreme Foods Processing Company LTD, Mohammed Al Hammali berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah pertama syarikat memasuki pasaran Asia.
Katanya, pihaknya akan memberi tumpuan kepada membina kerjasama komersial yang kukuh bersama Tradewinds bagi menilai keberkesanan model perniagaan yang dibangunkan kedua-dua pihak.
“Selepas itu, kami akan meneroka pembangunan aset fizikal di Malaysia bersama Tradewinds, dengan matlamat membina perniagaan yang mampu memenuhi keperluan pasaran halal global dan rantau Asia Pasifik,” katanya.




