
KUALA LUMPUR – Tradewinds (M) Berhad (TWM) meneroka peluang memperluas perniagaan protein halal di Malaysia dan rantau Asia Pasifik menerusi kerjasama strategik dengan pengeluar ayam bersepadu Arab Saudi, Tanmiah Food Company (Tanmiah).
Langkah itu menyaksikan kedua-dua syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TWM, Dennis Foo berkata, peluang berkenaan bukan sekadar membawa masuk produk ke pasaran Malaysia, sebaliknya turut merangkumi usaha membangunkan negara ini sebagai platform pemprosesan, pembangunan jenama dan pengedaran serantau.
“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada peluang jangka panjang merentasi rantaian nilai ayam.
“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Tanmiah bagi menilai peluang ini dan mengenal pasti bidang yang boleh mewujudkan nilai komersial mampan untuk kedua-dua pihak,” katanya di sini.

Selain pemprosesan dan pengedaran, kedua-dua syarikat turut akan menilai potensi pelaburan masa depan dalam rantaian nilai industri ayam di Malaysia, termasuk penternakan, pusat penetasan dan operasi pemprosesan ayam.
Ketua Pembangunan Perniagaan TWM, Farhan Hafetz berkata, pihaknya bersama Tanmiah turut merancang mengembangkan kerjasama daripada kemasukan produk ayam sejuk beku kepada pembukaan kilang pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Katanya, kerjasama tersebut bermula dengan usaha membawa masuk produk ayam keluaran Tanmiah dari Arab Saudi ke Malaysia sebelum dikembangkan kepada pelaburan dan aset fizikal di negara ini.
Menurut beliau, langkah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat selepas mengambil kira proses kelulusan dan keperluan berkaitan kemasukan produk ayam dari Arab Saudi.
“Fasa pertama adalah untuk kita membawa masuk (produk) dari Saudi, jika ada beberapa proses yang perlu dilalui dahulu.
“Yang kedua, insya-Allah pembukaan kilang dengan teknologi yang dibawa dari Saudi dan kita juga akan meneroka peluang pelaburan bersama syarikat-syarikat sedia ada di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, proses membawa masuk produk berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira setahun, dengan hasil kerjasama itu dijangka dapat dilihat seawal penghujung tahun depan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tanmiah, Mohammed Al Hammali menyifatkan, MoU berkenaan sebagai langkah pertama syarikat itu memasuki pasaran Asia, dengan Malaysia dipilih sebagai titik permulaan.
Katanya, Tanmiah mahu menggabungkan pengalaman dan keupayaan pengeluaran syarikat itu di Arab Saudi dengan pengetahuan TWM mengenai pasaran Malaysia, aktiviti perdagangan serta rangkaian pengedaran.
“Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk menggabungkan pengalaman dan keupayaan pembuatan di Saudi dengan rakan kongsi (TWM) yang mempunyai kepimpinan di Malaysia, pengetahuan mengenai pasaran, aktiviti perdagangan dan keupayaan pengedaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post TWM, Tanmiah teroka peluang jadikan Malaysia hab protein halal serantau appeared first on Kosmo Online.






