
Ketika rakan sebaya menggunakan wang saku untuk memenuhi kehendak sendiri, Muhammad Danial Naseem Ali memilih untuk menyimpan hasil upah yang diperoleh daripada membantu ibu bapanya menguruskan rumah penginapan keluarga, sedikit demi sedikit.
Bukan untuk telefon baharu, bukan juga untuk berbelanja, sebaliknya demi membeli peralatan memanah yang diimpikannya.
Bagi remaja yang lebih selesa disapa Danial itu, setiap ringgit yang dikumpul membawanya selangkah lebih dekat kepada sasarannya untuk menjadi pemanah yang lebih baik.
Kini, pada usia 17 tahun, hasil kesungguhannya mula membuahkan hasil apabila Danial terpilih mewakili Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (Sukma), sekali gus membuat penampilan pertamanya di temasya sukan berkenaan yang baru melabuhkan tirainya pada 24 Ogos lalu.
Danial telah menyertai acara compound lelaki di Sukma.
Biarpun dia tidak mendapat sebarang kalungan pingat, namun kisahnya sebagai seorang remaja yang menggapai impian menjadi inspirasi.
Berkongsi dengan K-Remaja, Danial berkata, minat terhadap memanah bermula ketika dia berusia 13 tahun.
“Saya sebenarnya mula memanah apabila ibu membawa saya ke sebuah pusat latihan berhampiran rumah.
“Ketika itu, ibu beritahu jurulatih di pusat latihan itu bahawa saya sekadar mahu mencuba.
“Begitu pun, apabila pertama kali memegang busur, saya sangat teruja kerana sejak kecil lagi saya menanam impian untuk bermain sukan ini,” katanya.
Pada mulanya, Danial hanya mahu mengisi masa lapang. Minatnya terhadap sukan itu bagaimanapun semakin bercambah selepas dia melihat pemanah profesional beraksi di televisyen.
Dia tertarik melihat bagaimana pemanah mampu mengawal busur compound dan melepaskan anak panah tepat ke gelang 10.
Lebih daripada itu, Danial mula memahami bahawa memanah bukan sekadar memerlukan kekuatan, sebaliknya ketepatan, fokus dan konsistensi.
“Perubahan kecil pada postur, cara memegang busur atau teknik boleh memberi kesan kepada tempat anak panah mendarat. Jadi, sentiasa ada sesuatu yang boleh diperbaiki,” katanya.
Semakin serius berlatih, semakin Danial melihat perubahan dalam dirinya.
Keupayaan untuk memberi tumpuan bertambah baik, manakala markah pertandingan juga semakin meningkat.
Dari situ, matlamat Danial mula berubah.Danial tidak lagi mahu memanah sekadar untuk berseronok. Dia mahu melihat sejauh mana kemampuannya dalam sukan tersebut.
Impian itu akhirnya membawa remaja berkenaan ke pentas lebih besar apabila terpilih mewakili Pulau Pinang pada Sukma pertamanya.
“Saya sangat terkejut dan teruja. Sejak kecil, saya memang mempunyai impian untuk mewakili negeri dalam mana-mana acara sukan.
“Apabila jurulatih beritahu berita itu, orang pertama yang saya beritahu ialah ibu bapa dan keluarga. Mereka sangat bangga dan gembira,” katanya.
Bagi Danial, pemilihan tersebut cukup bermakna selepas kira-kira empat tahun mencurahkan masa dan tenaga dalam sukan memanah.
Pada masa sama, tanggungjawabnya semakin bertambah kerana tahun ini turut menyaksikan dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perjalanan menuju Sukma bukan mudah. Dalam masa sama, Danial perlu membahagikan masa antara persekolahan, latihan memanah enam hari seminggu dan persiapan menghadapi SPM.
Di sebalik jadual padat itu, Danial masih meluangkan masa membantu ibu bapanya menguruskan penginapan Airbnb keluarga di Pulau Pinang.
Dia membantu membersihkan rumah selepas tetamu check-out, menghantar cadar dan tuala ke dobi serta memastikan rumah siap sebelum tetamu seterusnya tiba.
Kemahirannya berbahasa Mandarin juga pernah membantunya berkomunikasi dengan tetamu dari China yang tidak boleh berbahasa Inggeris.
Daripada kerja-kerja kecil itu, Danial menerima upah daripada bapanya yang kemudian dijadikan wang sakunya.
Wang itulah yang kemudian menjadi sebahagian daripada modal untuk mengejar impiannya dalam memanah.
“Apabila saya mula mengambil sukan ini dengan lebih serius, saya buat keputusan untuk menyimpan sebahagian wang itu bagi membeli peralatan sendiri.
“Peralatan pertama yang saya beli ialah aksesori untuk anak panah berharga sekitar RM180.
“Saya menyimpan wang selama kira-kira sebulan sebelum mampu membelinya,” katanya.

Bermula daripada itu, Danial telah menggunakan wang saku hasil upah melakukan kerja-kerja membantu pusat penginapan itu untuk membeli peralatan memanah.
Kini, sebagai atlet, dia sudah memiliki set memanah profesional.
Berkongsi tentang rutin harian, Danial memaklumkan harinya bermula sekitar pukul 5 pagi sebelum ke sekolah sehingga 3 petang.
Selepas itu, dia perlu mengikuti kelas tambahan sebelum ke latihan, yang berlangsung sekitar pukul 3 hingga 6 petang, enam hari seminggu.
Selesai latihan, Danial pulang ke rumah sekitar 6.30 petang untuk menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran selain menghadiri kelas tuisyen.
“Memang ada hari yang memenatkan, terutama apabila kerja sekolah banyak dan latihan pula lebih intensif.
“Saya perlu lebih berdisiplin dan merancang jadual supaya pelajaran tidak terabai,” katanya yang banyak membantu ibu bapanya mengurus penginapan Airbnb pada hujung minggu.
Bagi ibu bapanya, Sharinah Mohd. Ibrahim dan Naseem Ali, usaha Danial itu membuktikan minatnya terhadap memanah bukan lagi sekadar hobi.
Mereka sendiri pada awalnya menyangka anak mereka hanya mahu mencuba sesuatu yang baharu. Namun, kesungguhan Danial dari tahun ke tahun membuatkan mereka sedar sukan tersebut sudah menjadi sebahagian penting dalam hidupnya.
“Kami lihat bagaimana memanah membantu membentuk peribadinya, terutama dari segi disiplin, fokus dan pengurusan masa,” kata Sharinah.
Sharinah dan suami turut memastikan Danial tidak terlalu terbeban dengan jadualnya, terutama apabila SPM dan Sukma berlangsung pada tahun yang sama.
Pendidikan tetap menjadi keutamaan, namun minat Danial tetap diberi sokongan.
Malah, mereka bangga melihat dia belajar berdikari dan berusaha mendapatkan sesuatu yang diinginkan dengan wang hasil titik peluh sendiri.
“Sudah tentu kami masih menyokong dari segi latihan dan kos pertandingan.
“Tetapi melihat dia memilih untuk menyimpan wang sendiri menunjukkan betapa serius komitmennya terhadap sukan ini,” kata mereka.
Empat tahun bukan tempoh yang singkat. Sepanjang perjalanan itu, Danial juga pernah melalui fasa prestasi merosot dan berasa terlalu penat untuk meneruskan latihan.
Ada ketika dia hampir berputus asa.
Namun, sokongan keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan membuatkan dia terus menarik tali busur dan mencuba lagi.
Biarpun tidak membawa pulang pingat, Danial membawa lebih daripada sekadar busur dan anak panah.
Dia membawa pengalaman, sokongan keluarga serta bukti bahawa impian seorang remaja tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar.
The post Sasaran Danial, impian memanah seorang anak appeared first on Kosmo Online.





