
ENAM tahun melayari bahtera rumah tangga, pastinya banyak perkara yang berubah buat pasangan selebriti, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar dan pelakon, Mira Filzah.
Daripada fasa awal perkahwinan, membina keluarga, hinggalah melalui pelbagai sisi kehidupan bersama, masa sedikit demi sedikit mengajar mereka bahawa cinta bukan sekadar tentang kata-kata manis.
Sebaliknya, cinta juga hadir dalam perkara kecil yang kadangkala tidak perlu dilafazkan.
Sempena ulang tahun perkahwinan keenam mereka, Wan Emir menerusi perkongsian di media sosial menitipkan luahan penuh makna buat isteri kesayangannya itu.
“Semakin ku mengerti.. cinta itu tidak selalunya banyak bicara. Ada masa cukup dengan satu pandangan, satu genggaman, atau sekadar berada di sisi,” tulisnya.

Menurut Wan Emir, tempoh enam tahun bersama membuatkan dirinya semakin memahami bahasa cinta yang terjalin antara mereka.
Katanya, tanpa perlu banyak bicara, mereka belajar mengenali saat pasangan sedang keletihan, berdepan hari yang berat atau sekadar memerlukan seseorang untuk terus berada di sisi.
“Tanpa sepatah kata, ku tahu bila dirimu sedang lelah, bila hati sedang berat, dan bila diperlukan..hanyalah untuk tetap ada.
“Nur Amirah kekasihku, mungkin itulah keindahan bahasa cinta kita,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, Wan Emir melihat pertemuan mereka sebagai aturan Tuhan yang menemukan dua insan dengan kekurangan dan kelebihan masing-masing untuk saling melengkapi.
Baginya, kesempurnaan bukanlah ukuran utama dalam membina kehidupan bersama.

“Pencipta kita menemukan dua jiwa dengan segala kurang dan lebihnya, lalu mengajar kita untuk saling melengkapi. Di mana diri ini kurang, kau mengisi. Sewaktu jiwamu lelah, ku jadi sandaran buatmu.
“Dan dalam perjalanan ini, kita belajar bahawa cinta bukan tentang menjadi sempurna,” katanya.
Wan Emir kemudian menyambung luahan tersebut dengan satu ungkapan dalam bahasa Inggeris yang menggambarkan janji mereka untuk terus memilih satu sama lain, meskipun menyedari setiap insan mempunyai kekurangan.
“But continue to choose to be with one another; the imperfectly perfect us, every single day, until the end of time.”
Bagi Wan Emir, enam tahun perkahwinan bukan sekadar tempoh yang dilalui, tetapi perjalanan yang sarat dengan cerita, perjuangan, pengorbanan dan rahmat daripada-Nya.
Malah, dia turut memanjatkan doa agar hubungan yang dibina bersama terus dipelihara dan diberkati.

“Doaku semoga ALLAH terus membimbing langkah kita, menjaga hati kita, memberkati keluarga kita, dan menjadikan segala cinta, perjuangan dan pengorbanan kita di dunia sementara sebagai bekal untuk bertemu kembali di negeri abadi,” tulisnya.
Menutup coretan istimewa itu, Wan Emir menyampaikan ucapan ulang tahun perkahwinan keenam buat wanita yang dipanggilnya sebagai kekasih, permaisuri dan bidadari.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang keenam, Nur Amirah Filzah.. kekasihku, permaisuri bidadariku.. selagi Allah mengizinkan, genggam erat tangan kita di dunia hingga ke Syurga menanti,” katanya.
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga bersama Emir pada 3 September 2020. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Wan Khair Amir yang kini berusia empat tahun.

Enam tahun mungkin sekadar angka bagi sesetengah orang, namun bagi Wan Emir dan Mira, setiap tahun yang berlalu menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk terus mengenali, memahami dan memilih satu sama lain setiap hari.



