Sasaran defisit fiskal 3.4% berdepan tekanan subsidi, harga minyak

Business & Finance
26 Sep 2026 • 7:47 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sasaran defisit fiskal 3.4% berdepan tekanan subsidi, harga minyak

PETALING JAYA: Sasaran kerajaan untuk mengecilkan defisit fiskal kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 berdepan cabaran apabila tekanan subsidi dan perbelanjaan kerajaan dijangka terus mengehadkan ruang penyatuan fiskal.

Justeru, kumpulan penyelidikan OCBC mengunjurkan defisit fiskal Malaysia kekal pada 3.6 peratus daripada KDNK pada 2027, iaitu 0.2 mata peratusan lebih tinggi daripada sasaran 3.4 peratus yang berkemungkinan ditetapkan dalam Belanjawan 2027.

“Sasaran defisit 3.4 peratus itu sendiri menunjukkan sedikit penyimpangan daripada sasaran purata 3.2 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2028 di bawah Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF).

“Tekanan utama dijangka datang daripada perbelanjaan subsidi, harga minyak global serta komponen perbelanjaan kerajaan yang mempunyai kecenderungan meningkat secara struktur,” katanya dalam nota kajian.

Bagi 2026, OCBC mengunjurkan defisit fiskal meningkat kepada 3.6 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran 3.5 peratus dalam Belanjawan 2026.

Kumpulan penyelidikan itu menjangkakan hasil kerajaan pusat meningkat 12.8 peratus tahun ke tahun kepada RM379 bilion pada 2026, manakala perbelanjaan kerajaan pusat meningkat 10.9 peratus kepada RM456 bilion.

Namun, peningkatan hasil dijangka tidak mencukupi untuk mengimbangi tekanan perbelanjaan, khususnya subsidi dan bantuan sosial.

OCBC mengunjurkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial mencecah RM80 bilion pada 2026, meningkat 44.7 peratus daripada RM55.3 bilion pada 2025 dan jauh lebih tinggi daripada peruntukan RM49 bilion dalam Belanjawan 2026.

“Daripada jumlah itu, subsidi bahan api dianggarkan mencecah RM37 bilion atau 1.7 peratus daripada KDNK, dan boleh meningkat sekiranya harga minyak mentah Brent mencatatkan purata AS$100 setong.

“Kesan harga minyak terhadap kedudukan fiskal juga tidak semestinya memihak kepada kerajaan.

“OCBC menganggarkan setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak global meningkatkan hasil kerajaan sekitar RM300 juta, tetapi pada masa sama menambah perbelanjaan subsidi antara RM400 juta hingga RM500 juta.

“Ini bermakna kenaikan harga minyak boleh memberi tekanan bersih kepada kedudukan fiskal kerajaan, melainkan tambahan hasil dapat diimbangi oleh dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas),” katanya.

Dalam pada itu, hasil cukai dijangka meningkat 12.2 peratus kepada RM291.6 bilion, disokong penambahbaikan pentadbiran kutipan cukai, harga minyak global yang lebih tinggi, peluasan kadar dan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), serta pelaksanaan e-invois.

“Bagaimanapun, pertumbuhan perbelanjaan dijangka terus mengatasi keupayaan kerajaan mengecilkan defisit apabila subsidi dan bantuan sosial menjadi antara komponen utama yang memberi tekanan kepada kedudukan fiskal,” katanya. 

“Hasil bukan cukai pula dijangka meningkat 15 peratus kepada RM76.9 bilion pada 2026, walaupun dividen Petronas ditetapkan pada RM20 bilion, lebih rendah berbanding RM32 bilion pada 2025,” katanya.

OCBC menjangkakan kemungkinan pemberian dividen khas Petronas bagi menyokong hasil kerajaan, mengambil kira terdapat precedent pada 2022 apabila bayaran tambahan sebanyak RM25 bilion diluluskan pada Mac 2023.

Bagi 2027, OCBC menjangkakan pertumbuhan hasil kerajaan sederhana kepada sekitar tujuh peratus, dengan kerajaan lebih bergantung kepada penambahbaikan pentadbiran kutipan cukai berbanding pembaharuan cukai berskala besar.

“Antara langkah yang berpotensi meningkatkan hasil termasuk pendigitalan proses kutipan cukai serta pelarasan cukai eksais tertentu, termasuk cukai ke atas gula dan tembakau.

“Terdapat juga kemungkinan pengubahsuaian terhadap sistem SST bagi memasukkan ciri tertentu daripada mekanisme Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), termasuk kredit cukai input, namun tidak menjangkakan GST diperkenalkan semula,” tambahnya. – UTUSAN

The post Sasaran defisit fiskal 3.4% berdepan tekanan subsidi, harga minyak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved