Satu Malaysia kenal, wajah Asraf Sukadi pada MyKad baharu curi tumpuan netizen

16 Sep 2026 • 2:01 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Satu Malaysia kenal, wajah Asraf Sukadi pada MyKad baharu curi tumpuan netizen

PUTRAJAYA – Sepatutnya reka bentuk dan ciri keselamatan MyKad Generasi Baharu menjadi perhatian, namun lain pula yang mencuri tumpuan apabila wajah serta nama ‘Muhammad Asraf Sukadi’ yang digunakan pada kad contoh menjadi bualan pengguna media sosial.

Nama berkenaan mula menjadi sebutan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperlihatkan wajah rasmi MyKad Generasi Baharu sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini. 

Di Threads, pengguna media sosial dilihat ‘lebih sibuk’ mencari siapa gerangan lelaki yang wajahnya terpampang pada kad contoh berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai komen berseloroh.

“Apa lah amalan Asraf Sukadi. Satu Malaysia kenal,” tulis pengguna Threads, @affandyyy.

Seorang lagi pengguna, @wallawaniey turut berseloroh dengan mempersoalkan sama ada Muhammad Asraf Sukadi benar-benar wujud sambil memuji penampilannya.

Di sebalik perhatian terhadap ‘model MyKad’ itu, pengenalan MyKad Generasi Baharu merupakan pembaharuan besar terhadap dokumen pengenalan diri negara selepas lebih dua dekad, melibatkan perubahan reka bentuk, struktur dan tahap keselamatan. 

Antara pembaharuan diperkenalkan termasuk teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC), kod QR, cip antara muka dwi fungsi, transparent window, hologram keselamatan dinamik, teks mikro, corak guilloche serta elemen keselamatan ultraungu (UV). Kad berkenaan turut menggunakan lapisan polikarbonat bagi meningkatkan ketahanan fizikalnya. 

Pengeluaran MyKad Generasi Baharu akan bermula 17 September 2026 di 40 pejabat JPN terpilih pada fasa pertama. 

Bagaimanapun, pemegang MyKad sedia ada tidak diwajibkan menukar kad hanya kerana versi baharu diperkenalkan. MyKad lama yang masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan kekal sah. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat JPN untuk mendapatkan versi baharu kerana proses penggantian akan dilakukan secara berfasa.

“Cuma saya nak nasihatkan supaya tidak berpusu-pusu segera menggantikan (MyKad),” katanya.

The post Satu Malaysia kenal, wajah Asraf Sukadi pada MyKad baharu curi tumpuan netizen appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved