Saudi Aramco kembali jual minyak melalui Selat Hormuz

WorldBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 10:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saudi Aramco kembali jual minyak melalui Selat Hormuz

SINGAPURA: Syarikat tenaga gergasi Arab Saudi, Saudi Aramco dilaporkan telah memulakan semula aktiviti pemuatan minyak dari dalam kawasan Selat Hormuz sejak minggu lalu, selain menyediakan lebih banyak kapal tangki berikutan tawaran jualan kargo gred minyak mentah berat secara belian terus.

Pada Isnin, pengeluar minyak utama dunia itu menawarkan minyak mentah gred Arab Medium dan Arab Heavy kepada beberapa kilang penapis di Asia bagi proses pemindahan kapal-ke-kapal di perairan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum ini, Saudi Aramco menghentikan jualan selama beberapa minggu susulan serangan ke atas armada kapal tangkinya di Selat Hormuz berikutan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang memuncak.

Lapor Reuters, pemulihan semula eksport minyak mentah Arab Saudi ini dijangka dapat meredakan tekanan bekalan global bagi gred minyak berat yang digunakan secara meluas sebagai bahan api perkapalan mahupun diproses semula di kilang penapis untuk menghasilkan bahan api berkualiti tinggi seperti petrol dan diesel.

Berdasarkan data pemantau perkapalan Vortexa dan Kpler, tiga kapal tangki gergasi (VLCC) Malaysia Prosperity, Algeria Prosperity, dan Singapore Prosperity telah memuatkan kira-kira dua juta tong minyak mentah setiap satu dari terminal Juaymah dan Ras Tanura antara 12 hingga 16 Ogos lalu.

Ini sekali gus mengakhiri tempoh jeda tanpa pemuatan minyak di pelabuhan berkenaan selama tiga minggu.

Bagaimanapun, kadar eksport minyak Arab Saudi secara keseluruhannya masih terhad berikutan tindakan kumpulan Houthi dari Yemen yang mengenakan sekatan maritim di Laut Merah, di mana Saudi Aramco sebelum ini mengalihkan laluan eksportnya ke pelabuhan Yanbu semasa meletusnya perang Iran.

Sebagai langkah alternatif, syarikat gergasi berkenaan menawarkan kargo minyak mentah tambahan untuk pemuatan melalui pelabuhan Sidi Kerir milik Mesir di Laut Mediterranean.

Namun begitu, jumlah eksport menerusi laluan ini masih jauh lebih kecil berbanding paras sebelum sekatan, di mana pelabuhan Yanbu pernah mengendalikan eksport sehingga empat juta tong sehari.

Selain itu, kos perkapalan yang lebih tinggi serta tempoh pelayaran yang lebih panjang turut menjejaskan minat para pembeli.

Setakat ini, pihak Saudi Aramco dan syarikat pemilik kapal tangki, Sinokor, enggan memberikan sebarang ulasan berhubung perkembangan tersebut.

Data sementara Kpler turut menunjukkan sekurang-kurangnya enam lagi kapal VLCC dijadualkan memuatkan minyak mentah Arab Saudi dari dalam laluan Selat Hormuz pada penghujung bulan ini.

Pakar perdagangan berpendapat Saudi Aramco berkemungkinan akan menugaskan armada kapal tangki milik Arab Saudi sendiri bagi transit di Selat Hormuz, selain menggunakan kapal-kapal milik Sinokor.

Data perkapalan LSEG pada Selasa menunjukkan tujuh kapal VLCC milik pengendali syarikat Bahri dari Arab Saudi dikesan berlabuh di perairan UAE dan Oman, manakala dua lagi sedang menuju ke Fujairah.

The post Saudi Aramco kembali jual minyak melalui Selat Hormuz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved