
BUKIT JALIL: Penyanyi dan komposer, Aisha Retno, mendedahkan dia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) memandangkan pementasan itu akan berlangsung hampir dua bulan lagi, selain dalam perancangan meluncurkan solo baharu.
Aisha atau Sharifah Aisha Retno binti Sayed Sipulijam, 26, berkata, proses itu bermula seiring dengan pelancaran penjualan tiket persembahan berkenaan pada 18 Ogos, semalam.
Katanya, pembabitannya dalam naskhah besar itu memerlukan komitmen tinggi kerana dia perlu menguasai pelbagai elemen persembahan serentak.
“Aisha akan berkampung untuk latihan teater pementasan Puteri Gunung Ledang memandangkan penjualan tiket pun bermula pada 18 Ogos. Banyak perkara yang perlu dilaksanakan, bukan sahaja menyanyi dan menari tetapi perlu menjiwai watak Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah itu.
“Aisha akan berikan sepenuh tumpuan sebab dapat berlakon dengan orang-orang yang hebat. Sambil-sambil itu, Aisha juga akan keluarkan lagu solo baharu tidak lama lagi, insya-Allah,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), di Unifi Arena, pada Sabtu.
Terdahulu, Aisha Retno diumumkan sebagai salah seorang pemegang watak utama sebagai Gusti Putri Retno Dumilah dalam pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026.
Dalam pada itu, mengimbas semula kejayaannya dalam Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), Aisha Retno berjaya meraih gelaran Naib Juara menerusi lagu Tak Adil yang menyaksikan penyanyi ini membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM50,000.
The post Saya akan fokus dengan PGL, sambil-sambil itu akan luncurkan solo baharu – Aisha Retno appeared first on Utusan Malaysia.





