Saya akan jaga awak sampai bila-bila' -Lepas 100 kali kemo, pejuang kanser tunai janji kahwini gadis SLE & Crohn disease

Health & FitnessLifestyle
9 Jun 2026 • 1:07 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Saya akan jaga awak sampai bila-bila' -Lepas 100 kali kemo, pejuang kanser tunai janji kahwini gadis SLE & Crohn disease

“SUAMI awak adalah lelaki yang sebenar. Dia memegang janji. Perkahwinan seperti mereka ini sangat jarang kita jumpa sekarang,” ujar DJ Era, Nabil mengagumi ketulusan cinta pasangan pengantin baru yang tular baru-baru ini.

Kala orang lain mencari kesempurnaan dalam memilih pasangan hidup, lain pula kisahnya bagi Syakir dan Erina Rasid. Pasangan yang berasal dari Pahang dan Perak itu membuktikan  cinta sejati wujud apabila dua jiwa saling menerima kekurangan dan berjuang melawan takdir bersama.

Syakir merupakan seorang pejuang kanser yang telah melalui fasa getir menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 100 kali. Manakala isterinya, Erina, diuji dengan penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan penyakit Crohn (radang usus kronik).

Image from: Saya akan jaga awak sampai bila-bila' -Lepas 100 kali kemo, pejuang kanser tunai janji kahwini gadis SLE & Crohn disease

Detik awal pertemuan mereka bukanlah di tempat yang romantis, tetapi laman sosial TikTok. Ketika itu, Erina yang sedang berada dalam keadaan tertekan akibat penyakitnya, terpandang satu video yang dimuat naik oleh Syakir.

"Kami berjumpa di media sosial di TikTok. Isteri saya yang mendekati saya dahulu. Dia bertanya, bagaimana saya masih boleh tersenyum dengan keadaan seperti itu?" imbau Syakir.

Dalam video berkenaan, Syakir sedang menarik rambutnya yang gugur kesan daripada rawatan kemoterapi. Namun, apa yang menjentik hati Erina adalah senyuman yang terukir di wajah lelaki itu, seolah-olah tiada bebanan penyakit yang sedang ditanggungnya.

Image from: Saya akan jaga awak sampai bila-bila' -Lepas 100 kali kemo, pejuang kanser tunai janji kahwini gadis SLE & Crohn disease

"Saya jawab kepadanya masa itu, kenapa awak mahu merasa sedih? Jika itu adalah dugaan untuk awak, kita harus teruskan hidup. Kita harus sentiasa positif.

"Jika kita negatif, kita seolah-olah membiarkan penyakit ini menang. Kita hidup, biarlah kita yang menentukan hidup kita. Kenapa kita mahu biarkan penyakit yang menentukan hidup kita?" kata Syakir, menitipkan kata-kata semangat yang akhirnya mengubah seluruh pandangan hidup Erina.

Hubungan yang bermula sebagai pembakar semangat akhirnya bertukar menjadi cinta. Walaupun Syakir terpaksa bertarung nyawa melalui 100 kali sesi kemoterapi, Erina tetap setia memegang janjinya untuk bertahan sehingga mereka disatukan sebagai suami isteri.

Bagi Syakir, Erina bukan sekadar seorang isteri, tetapi adalah inspirasi untuknya terus bernafas.

"Kami terima kekurangan masing-masing, berjuang bersama tidak pernah mengalah," ujarnya.

Sementara itu, Eryna berkongsi bagaimana suaminya menjadi sumber kekuatan dan mengubah cara dia melihat kehidupan.

"Sejak mengenali dia, banyak benda yang berubah. Dulu saya pernah berputus asa dulu, tetapi dia sentiasa menyokong saya. 

"Jika dia boleh melawan penyakit dan kembali sihat, saya rasa saya juga perlu menjadi kuat seperti dia," kongsi Eryna menerusi petikan temu ramah bersama Storiemy.

Image from: Saya akan jaga awak sampai bila-bila' -Lepas 100 kali kemo, pejuang kanser tunai janji kahwini gadis SLE & Crohn disease

Sempena hari bahagia mereka baru-baru ini, suasana bertukar hiba apabila bait-bait penghargaan luahan hati seorang suami diucapkan.

"Kami sama-sama belajar, berjuang. Apa pun jangan sesekali mengalah kerana setiap langkah kecil akan membawa kepada keputusan yang besar. Jangan berhenti berjalan, teruskan melangkah," kongsinya.

Bagi Syakir, pengorbanan Erina yang sudi menerima dirinya yang serba kekurangan adalah hadiah paling tidak ternilai dalam hidupnya.

"Sampai ke hari ini, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sentiasa ada dan menerima saya. 

"Saya mungkin tak mampu membalas semua itu, tetapi saya sudah tunaikan janji saya. Saya akan jaga awal sampai bila-bila," tutur Syakir sambil menahan sebak.

Dalam pada itu, Eryna turut meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang begitu matang dan sudi menerima dirinya seadanya.

Image from: Saya akan jaga awak sampai bila-bila' -Lepas 100 kali kemo, pejuang kanser tunai janji kahwini gadis SLE & Crohn disease

"Terima kasih kerana tak pernah menyerah dan tetap menerima saya walaupun saya mempunyai banyak kekurangan yang orang lain mungkin tak boleh terima," kongsinya.

"Awak tak pernah rasa terbeban, tak pernah rasa saya menyusahkan. Terima kasih kerana sudi jaga saya insya-ALLAH sampai akhir hayat," luahnya.

Perkongsian itu menerima kata-kata positif daripada warganet. Di samping ucapan tahniah, rata-rata memberikan semangat agar Syakir dan Eryna terus kuat serta berbahagia.

"Both are fighter! Respect and happy for you two."

"Inilah makna sekufu yang sebenar. Yang bersama waktu susah dan senang."

""Saya tak minta lebih daripada ALLAH untuk korang berdua, saya cuma nak tengok korang bahagia, insya-ALLAH, till jannah."

Sumber: Instagram 1, 2