Dahulu saya introvert dan sifat itu agak membataskan diri – Ezaidi Aziz

EntertainmentLifestyle
14 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dahulu saya introvert dan sifat itu agak membataskan diri – Ezaidi Aziz

KUALA LUMPUR : Pelakon, Ezaidi Aziz,31, menekankan kepentingan seseorang pelakon, khususnya daripada generasi baharu, untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran seni lakonan selain tidak terlalu dibelenggu sifat malu atau introvert ketika berada di lapangan kerja.

Menurut Ezaidi, pengalaman berinteraksi dan belajar daripada pelakon senior banyak membantu perkembangan dirinya, terutama ketika berdepan rasa gementar dan kurang keyakinan ketika menjayakan sesuatu babak.

“Dahulu, saya seorang yang agak introvert. Jadi, saya rasa sifat itu agak membataskan diri. Kita perlu memecahkan batas tersebut dengan berani menegur pelakon-pelakon senior dan belajar daripada mereka.

“Apabila kita belajar dengan pelakon senior atau dengan mereka yang banyak menjadi rakan lakon kita, perkara itu sangat membantu. Contohnya, saya pernah berlakon dengan Keith Foo dan dia sangat membantu. Ketika saya beritahu bahawa saya berasa tertekan dan gementar, dia berkata, ‘Adik, ini babak awak. Kalau awak buat betul-betul, awak akan nampak seperti hero dalam cerita ini.’

“Perkara seperti itu sangat membantu dan saya rasa apa yang disebut dalam soalan tadi memang sangat betul. Kita memang perlu mempunyai inisiatif untuk menegur dan bergaul dengan orang lain. Malah, dengan kru teknikal pun begitu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ezaidi berkata, pelakon baharu juga tidak seharusnya memandang ringan peranan kru teknikal kerana golongan itu antara individu terawal yang dapat melihat dan menilai hasil kerja pelakon di set penggambaran.

“Kita kena buang sifat terlalu introvert itu. Contohnya, sejak saya mula pergi ke set penggambaran, saya akan cuba menegur kru teknikal. Ada orang menganggap kru teknikal tidak begitu penting, tetapi sebenarnya merekalah yang sangat penting kerana mereka antara orang pertama yang akan melihat hasil kerja dan apa yang kita sampaikan.

“Jadi, bagi saya, perkara itu memang sangat penting,” katanya.

Mengulas sama ada sifat introvert boleh menjadi penghalang kepada seseorang untuk menceburi industri lakonan, Ezaidi berpandangan perkara itu bukan alasan sekiranya seseorang benar-benar mempunyai minat dan kesungguhan untuk berjaya.

“Bagi saya, tidak, asalkan kita benar-benar mempunyai minat dan kesungguhan untuk melakukannya. Bagi saya sendiri, tahun ini saya benar-benar mahu memberikan komitmen sepenuhnya.

“Apabila kita sudah menetapkan dalam fikiran bahawa, ‘Aku kena beri 100 peratus untuk kerja ini kerana inilah tempat kita mencari rezeki,’ maka soal sikap dan sifat introvert itu perlu kita atasi.

“Begitu juga dengan soal datang lewat atau sebagainya. Kita memang perlu menepati masa. Apabila kita menjaga perkara-perkara seperti ini, sekurang-kurangnya ia tidak akan menjadi tekanan kepada kita atau menyebabkan orang menyalahkan kita atas perkara yang boleh dielakkan,” katanya.

The post Dahulu saya introvert dan sifat itu agak membataskan diri – Ezaidi Aziz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved