'Saya belum puas hati kejayaan atasi isu scammer' - Saifuddin

10 Apr 2023 • 6:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai empat individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan kes berasingan dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM300,000. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui belum berpuas hati dengan keupayaan pihak berkuasa mengatasi masalah scammer yang kini menjadi ancaman jenayah yang serius di negara ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan dan komitmen dalam memastikan usaha berterusan bagi menyelesaikan jenayah scammer.

"Scammer adalah ancaman jenayah baharu melibatkan kerugian sangat tinggi.

"Adakah kami berpuas hati dengan keupayaan kami menangani dan membanteras kegiatan ini? kami belum pernah berpuas hati.

"Sebab kami tahu corak scammer ini datang dengan kreativiti yang tinggi," katanya dalam sesi Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Azhar Sulaiman itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Tambah beliau, dengan kepakaran yang dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau yakin masalah kegiatan scammer mampu diatasi dari masa ke masa.

"Dengan kepakaran PDRM, kita akan dapat siasat corak bagaimana mereka menjebak mangsa.

"Saya boleh beri jaminan melalui libat urus saya dengan pihak polis. Saya yakin dengan profesionalisme mereka," ujarnya.