Sistem parol kurangkan kes banduan kembali ke penjara

10 Apr 2023 • 6:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sistem parol yang diwujudkan di bawah Akta Penjara Seksyen 43 mampu mengurangkan kes banduan kembali ke penjara. (Gambar kecil: Saifuddin Nasution)

image is not available
Program Town Hall bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Karangkraf pada Isnin. - FOTO ROSLI TALIB

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sistem parol yang diwujudkan di bawah Akta Penjara Seksyen 43 mampu mengurangkan kes banduan kembali ke penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, daripada setiap 800 banduan yang dibebaskan dengan kaedah itu, seorang sahaja yang kembali ke penjara.

"Apabila kita laksana dua pertiga masa mereka di luar, satu pertiga sahaja di dalam penjara, ia berjaya dan ini adalah berita baik," pada program Town Hall Rakyat edisi ketiga anjuran Sinar Harian pada Isnin.

Program berkenaan dihoskan oleh selebriti dan juga pelakon, Azhar Sulaiman

Beliau berkata, ketika ini terdapat 39 penjara di dalam negara dengan kapasiti 65,000 pesalah tetapi penghuninya adalah 70,000 orang.

"Akta Penjara Seksyen 43 membolehkan tahanan yang dihukum kurang tiga tahun penjara boleh dikeluarkan dengan sistem parol.

"Di bawah akta kehadiran wajib, mereka yang dihukum penjara itu boleh berada di rumah dan melalui kehidupan seperti biasa di bawah perintah pembebasan berlesen.

"Kategori ini kita uruskan lebih banyak masa mereka berada di luar sepertimana dibenarkan dalam akta tertentu, akta penjara dan akta kehadiran wajib kita dapati impaknya sangat bagus," ujarnya.