
MOMEN indah seperti perkahwinan dan kelahiran sering menjadi tumpuan ramai. Namun, ada juga cerita yang jarang diangkat tentang penantian yang panjang, doa yang tak pernah putus dan hati yang terus diuji sabar.
Itulah yang sedang dilalui pelakon, Aprena Manrose, apabila dia berkongsi luahan jujur mengenai perjalanan mendapatkan zuriat.
Menerusi hantaran di Threads, Aprena membuka ruang hatinya bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi seakan mewakili suara ramai wanita di luar sana yang melalui pengalaman serupa.
“Hi threads pipol! Nak meluah jap….
“Dulu saya dan Nely (Nelydia Senrose) sama-sama TTC (Trying To Conceive). Kita kuatkan sesama kita.
"Sekarang tinggallah saya seorang sahaja yang belum ada rezeki anak,” tulisnya.
Perkongsian itu cukup ringkas, namun sarat emosi. Pernah melalui fasa TTC bersama sepupu sendiri, hubungan sokongan itu sedikit sebanyak menjadi kekuatan buatnya.
Namun apabila Nelydia Senrose kini melangkah ke fasa baharu sebagai bakal ibu, Aprena mengakui dia terasa seolah-olah tertinggal sendirian dalam perjalanan tersebut.
Lebih menyentuh hati apabila dia meluahkan perasaan melihat sekeliling, keluarga dan sepupu yang rata-rata sudah memiliki anak.
“Semua cousins dah beranak pinak. Saya bila lagi ya ALLAH?” katanya lagi.
Ayat itu mungkin pendek, tetapi cukup untuk menggambarkan rasa sebak yang dipendam. Ia bukan sekadar soal ‘bila’, tetapi tentang harapan yang terus disulam, walau diuji waktu.
Namun, di sebalik rasa itu, jelas terselit rasa syukur terhadap rezeki orang lain. Tiada nada cemburu, hanya persoalan yang bermain dalam hati, tentang giliran sendiri yang masih belum tiba.
Menariknya, ruangan komen menjadi tempat berkumpulnya pelbagai cerita dan doa. Bukan sekadar memberi kata semangat, malah ramai yang berkongsi pengalaman peribadi, menjadikan luahan Aprena sebagai titik pertemuan emosi yang sama.

Antara komen yang mencuri perhatian:
"Saya doa Aprena jumpa jodoh yang baik then dikurniakan anak sama-sama ya sayang. Dont be sad and overthinking. Nanti your turn pulak."
"Alhamdulillah Nelly dah pregnant ya. Suka tengok dia berlakon dulu-dulu... Untuk Aprena, saya doakan semoga cepat2 lekat juga.. Biasa pregnant ni berjangkit mcam kami dekat ofis dulu 4 orang pregnant selang seli."
"Doakan Aprena untuk jodoh juga sis. baru boleh pregnant. Mustahil boleh lekat tapi suami tak ada."
"Sabar lah awak, setiap manusia ALLAH uji... Saya dah 25 tahun takde anak sabar aje..
Ada orang diuji tiada anak, ada org diuji dengan anak yang ramai,
Ada orang diuji dengan kemiskinan, ada orang diuji dengan kekayaan..
Ada orang diuji dengan agama yang kurang ada orang diuji terlebih ilmu agamanya ….. macam macam ujian ALLAH berikan."
Tidak kurang juga yang berkongsi rasa yang sama:
"Paling terasa..bila sekeliling kau semua pregnant tapi kau masih belum ada rezeki. Sakit!"
"Betul sangat sedih, kawan-kawan saya semua kahwin lepas saya, semua dah pregnant dan ada yang dah beranak. Saya je belum lekat2 lagi lepas gugur tahun lepas."
"Me too. Cousin perempuan yang lain semuanya dah bersuami, jadi ibu kepada anak-anak kecil yang comel, jadi menantu perempuan kepada sebuah keluarga. Manakala saya masih sendirian, mak abah tinggalkan saya selamanya dalam keadaan saya tanpa pasangan. Heartbroken jangan cerita, saban tahun berperang dengan emosi diri sendiri. Sunyi & sepi tu dah jadi kawan."
Realiti Yang Jarang Dibicarakan
Isu kesuburan dan perjalanan mendapatkan zuriat sering dianggap sensitif, malah ada yang memilih untuk memendam daripada berkongsi. Tetapi keberanian Aprena membuka cerita ini memberi satu perspektif penting bahawa tidak semua perjalanan hidup itu mudah, dan tidak semua perkara boleh dipercepatkan dengan usaha semata-mata.
Sabar dan percaya pada aturan Tuhan. Setiap orang punya garis masa berbeza, dan setiap ujian datang dengan hikmah tersendiri, walaupun kadang-kadang sukar difahami.
Luahan Aprena Manrose bukan sekadar cerita peribadi, tetapi cerminan realiti yang dilalui ramai wanita. Dalam diam, mereka berjuang. Dalam senyap, mereka berdoa. Yang penting, jangan pernah berhenti berharap.

