

Bermula dengan kandungan makan-makan yang santai, kini Adrian semakin dikenali sebagai pencipta kandungan yang gemar mengetengahkan restoran-restoran kecil yang mempunyai potensi besar tetapi kurang mendapat perhatian.
Bagi Adrian atau lebih dikenali sebagai Mr POV, setiap video yang dihasilkan bukan sekadar berkongsi hidangan lazat, sebaliknya menjadi ruang untuk membantu peniaga berusaha membangunkan perniagaan mereka agar lebih dikenali ramai.
Katanya, kandungan yang dihasilkannya bukanlah bertujuan membuat ulasan atau memberikan penilaian terhadap sesebuah restoran. Sebaliknya, dia hanya berkongsi pengalaman menikmati makanan di tempat yang dikunjungi mengikut cita rasanya sendiri.
Ujarnya, dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai pengkritik makanan kerana bukan seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Apa yang dilakukan hanyalah berkongsi pengalaman makan secara santai kepada pengikutnya.
“Kalau ada perkara yang kurang memuaskan, saya lebih selesa bercakap terus dengan pemilik restoran. Saya tidak akan muat naik video yang boleh memberi imej negatif kepada perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
BUKAN SEMUA PERMINTAAN DITERIMA
Katanya, kebanyakan pemilik restoran tersebut menghubunginya sendiri menerusi mesej langsung (DM) di media sosial dengan harapan premis mereka dapat diketengahkan kepada lebih ramai orang.
Bagaimanapun, bukan semua permintaan akan diterima. Adrian menjelaskan dia mempunyai kriteria tertentu sebelum bersetuju menghasilkan kandungan di sesebuah restoran.
Baginya, perkara paling penting ialah melihat kesungguhan pemilik restoran itu sendiri. Dia mahu membantu mereka yang benar-benar berusaha untuk mempertahankan perniagaan dan bukan sekadar mengharapkan publisiti semata-mata.
“Ramai yang berdepan kesukaran, tetapi saya lihat sama ada mereka benar-benar berusaha. Kadang-kadang ada yang kata susah berniaga, tetapi pemilik sendiri pun jarang berada di kedai. Usaha itu mesti seiring dengan niat,” jelasnya.
Adrian turut mengakui sering menerima pertanyaan daripada pengikut mengenai sama ada makanan yang dipaparkan benar-benar sedap atau sekadar kandungan media sosial.
Baginya, soal sedap atau tidak sangat subjektif kerana setiap individu mempunyai cita rasa yang berbeza.
Atas sebab itu juga dia hanya akan berkongsi restoran yang memenuhi cita rasanya, manakala restoran yang kurang memuaskan tidak akan dijadikan kandungan.
Dalam masa sama, Adrian bercadang memperbanyakkan lagi kandungan gaya hidup pada masa akan datang.
Dia mahu berkongsi lebih banyak aktiviti harian yang dianggap menarik dan menyeronokkan tanpa terikat dengan konsep tertentu.
MEDIA SOSIAL RUANG SANTAI
Menurutnya, dia mahu media sosial menjadi ruang yang lebih santai dan dekat dengan kehidupan sebenar supaya pengikut dapat mengenalinya bukan hanya sebagai pencipta kandungan makanan.
Ditanya mengenai reaksi netizen yang menghargai usahanya memperkenalkan restoran-restoran tersembunyi, Adrian mengakui dia tidak menganggap dirinya sebagai penyelamat kepada mana-mana premis makanan.
Namun, dia gembira apabila kandungannya mampu membantu peniaga kecil menerima lebih ramai pelanggan.
Baginya, itulah kepuasan sebenar apabila media sosial bukan sahaja menghiburkan, malah turut memberi manfaat kepada mereka yang sedang gigih membina perniagaan.
The post Saya bukan pengkritik makanan, saya hanya bantu peniaga’ appeared first on Utusan Malaysia.






